Bulan
Ramadan bulan Ibadah. Seringkali tibanya bulan Ramadan surau-surau dan
masjid-masjid penuh dengan kesesakan umat Islam untuk menunaikan solat
berjemaah di samping datang untuk menunaikan solat sunat tarawikh pada malam
harinya. Fenomena ini adalah baik jika dapat dikekalkan momentumnya pada
bulan-bulan lain juga.
Kedatangan Ramadan yang mulia diharapkan akan merubah diri kita
untuk menjadi insan yang lebih baik apabila berakhirnya tarbiah Ramadan.Berapa
ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga kerana tidak
menjaga pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat. Dosa mata paling
dominan apabila melihat benda-benda yang haram, dosa mulut apabila berbicara
perkara-perkara yang lagha dan mengumpat, dosa telinga apabila mendengar berita
palsu dan sebagainya.
Apabila kita berpuasa, kita beranggapan puasa itu adalah sekadar
menahan lapar dan dahaga tetapi kita terlupa bagaimana cara untuk menggemukkan
pahala puasa kita. Kita berpuasa tetapi kita tidak menjaga aurat kita, Ramai
yang berpuasa tetapi terlupa untuk melaksanakan solat lima waktu dan
sebagainya.Ramadan merupakan bulan ibadah. Bulan untuk kita menggandakan usaha
beribadah seperti membanyakkan membaca al-Quran, bertadarus, berzikir,
bersedekah, bertahajud, membanyakkan berdoa dan sebagainya.
Kemeriahan bulan Ramadan dapat juga dilihat dengan kewujudan Bazar
Ramadan yang dibuka pada sepanjang bulan Ramadan. Hal ini adalah amat baik
tetapi kita jangan terleka berniaga hingga meninggalkan yang wajib seperti solat
lima waktu atas alasan penat berpuasa di siang hari. Kita juga disarankan
mengurangkan menonton televisyen pada bulan ini supaya dapat fokus kepada
ibadah. Semoga Ramadan kali ini akan menjadi Ramadan yang terbaik buat kita dan
meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam menjalani kehidupan sebagai
seorang hamba yang bersyukur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan