Khamis, 19 November 2015

Rukun Solat


Rukun solat yang pertama

Niat
Niat itu perlu ada dalam hati ketika Takbiratul Ihram.

Rukun Niat berdasarkan 3 perkara iaitu:
  1. Qasad. Niat hendak melakukan solat. Contoh: Sama ada hendak melakukan solat atau senaman?
  2. Taa‟rudh. Jenis solat. Contoh: Fardhu ataupun Sunat?
  3. Ta‟yin. Tentukan waktu solat. Contoh: Solat Zuhur ataupun Solat Asar?


Perkara-perkara yang tidak menjadi syarat untuk mengesahkan niat :
  1. Kerana Allah.
  2. Menghadap kiblat.
  3. Bilangan Rakaat.
  4. Menjadi Imam atau Makmum

Sumber:
SIFAT-SIFAT SOLAT
DISUNTING DARI KITABMUGHNI AL-MUHTAJ
KARYA SYEIKHAS-SYARBINI


bersambung...

Selasa, 17 November 2015

Dakwaan Kisah Nabi S.A.W Menyebut ‘Ummati, Ummati..” Ketika Hampir Wafat adakah benar?

PENJELASAN:

Kisah kewafatan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah satu peristiwa yang sangat besar dan perincian peristiwa tersebut telah direkodkan secara bersanad oleh para ulama hadis. Justeru, sebarang perkataan atau perbuatan yang disandarkan kepada baginda termasuklah peristiwa kewafatan baginda, hendaklah dinilai kesahihan atau kedaifannya melalui kaedah ilmu hadis.
 
Berkenaan dengan perkataan “Ummati, ummati...” (Umatku, umatku...) yang dikatakan disebut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ketika hampir wafat, kisah ini tidak didapati dalam sumber-sumber hadis yang muktabar di sisi Ahli Sunnah.
 
Namun, perkataan “Ummati, ummati..” disebut oleh baginda dalam beberapa hadis lain yang tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan baginda.

Antaranya hadis tentang syafaat di akhirat yang menyebut bahawa baginda menyebut “Wahai Tuhanku, Ummati, ummati”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Begitu juga hadis bahawa Nabi membaca beberapa potong ayat Quran lalu menyebut “Ummati, ummati..” sambil menangis. (Riwayat Muslim).
 
Kedua-dua hadis sahih tersebut tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Manakala kisah kewafatan baginda, tidak ada riwayat sahih yang merekodkan bahawa baginda menyebut, “Ummati, ummati” sebelum kewafatannya.
 
Adapun yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam Mukjam Awsat, dan juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya (4/73) bahawa baginda berkata sebelum wafat:

من لأمتي المصطفاة من بعدي
Hadis tersebut dinilai dhaif oleh ulama hadis. Antaranya Al-Hafiz al-Iraqi di dalam kitab al-Mughni ‘An Haml al-Asfar Fi al-Asfar (m/s 1849) mengatakan, “Sanadnya dhaif”.
 
Wallahu A’lam.

Sumber:http://www.e-fatwa.gov.my

Isnin, 9 November 2015

HUKUM PENGGUNAAN ROKOK ELEKTRONIK / VAPOR

IRSYAD FATWA KE-63
Hukum Penggunaan Rokok Elektronik / Vapor
Alhamdulillah, dalam Irsyad Fatwa pada kali ini, kami seupaya mungkin cuba menekuni isu yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik dan vapor atau vape yang sekarang ini begitu berleluasa digunakan termasuk kalangan remaja perempuan dengan pelbagai alasan. Antara alasan paling popular adalah sebagai pengganti kepada rokok sebenar untuk ditinggalkan dan berhenti secara perlahan-lahan atau tadarruj. Alasan seperti ini seolah-olah menghalalkan cara dan penggunaan rokok elektronik dengan berleluasa. Justeru, Irsyad Fatwa pada kali ini merasa terpanggil untuk membincangkan isu dan hukum berkaitan dengan rokok elektronik ini.
Definisi Rokok Elektrik
Rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden. Pada masakini, rokok elektrik juga dikenali sebagai vape atau vapor.
Pendapat Pakar
Dinyatakan di sini beberapa pendapat pakar berkenaan dengan penggunaan rokok elektronik, antaranya :
-Jumlah nicotine yang dalam e-rokok ini berbeza bergantung kenyataan tertulis dalam labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi). Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.
-Saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere). Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nicotine dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.
-Pada September 2008, World Health Organization telah mengeluarkan kenyataan: “tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian nicotine. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok” Lihat http://www.who.int/media…/…/releases/2008/pr34/en/index.html
Hukum
Berdasarkan daripada kenyataan di atas dan juga nas yang dinyatakan maka kami berpendapat bahawa penggunaan rokok elektronik juga hukumnya adalah haram. Ini kerana seperti yang kami ‘illahkan atau nyatakan sebab terhadap hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik ini bahkan kami nyatakan sekali lagi beberapa alasan antaranya:
-Qiyas kepada rokok sebenar
-Kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri. Ini merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti.
-Pembaziran
-Meniru budaya yang bukan Islam
-Dilihat tidak bermaruah
Terdapatnya fatwa ulama’ yang menyokong tentang pengharaman rokok elektronik ini. Justeru, kami berpendapat seperti itu juga dengan alasan yang diberikan di atas. Untuk ulasan pengharaman, sila rujuk Bayan Linnas Siri-18.
Fatwa Ulama’
Kami nyatakan di sini fatwa yang dikeluarkan menyatakan hukumnya sama seperti hukum rokok biasa. Justeru, hukumnya adalah haram. (Lihat http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php…)

Penutup

Dalam isu ini, ramai juga berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok berhenti daripada merokok. Justeru, ia menggunakan rokok elektronik sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Sebenarnya anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana dikatakan ada juga bahan tobacco dan nikotin yang asalnya daripada bahan yang boleh memabukkan dan memberi mudarat kepada kesihatan manusia. Kami sepertimana isu merokok juga menyeru kepada khalayak umat Islam untuk meninggalkan penggunaan rokok elektronik atau vapor berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vapor, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka. Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

(Spirit In The Opinion Of Muslim Philosophers: Al-Ghazali As Model)

ULASAN JURNAL

(Spirit In The Opinion Of Muslim Philosophers: Al-Ghazali As Model)
Mohd Faizal Mat Pesa

Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia


1.0          LATAR BELAKANG
Jurnal ini merupakan hasil kajian oleh Elbahlour Mohamed  Hussein dari University of al-Jabal al-Gharbi, Libya Manakala Ahmad sunawari bin long dan Mudaser bin Rosder dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia tentang maksud Roh yang pelbagai melalui dalil al-Quran dan as-Sunnah. Objektif  penulisan ini  adalah menjelaskan makna roh dari perspektif Islam secara umum dan menurut pandangan al-Ghazali khasnya, disamping memberi penekanan terhadap disiplin falsafah Islam berpunca dari al-Quran dan Sunnah, dan ianya sama sekali berbeza dengan falsafah Yunani dan semua falsafah sekular.

2.0          SASARAN PEMBACA
Berdasarkan kepada tajuk fokus kajian dan jurnal ini adalah ditujukan kepada pemikir-pemikir ilmuan islam dan mahasiswa dan mahasiswi di Institut pengajian tinggi. Idea ini kemudiannya dibuka kepada semua untuk dibincang dan dibahaskan bagi melihat pendapat al-Ghazali yang berasaskan  al-Quran dan Sunnah, Sekaligus menolak dakwaan ahli falsafah barat yang mengatakan falsafah Islam merupakan disiplin ilmu yang berasal dan bersandarkan pada pemikiran Yunani.

3.0          RUMUSAN JURNAL

Secara keseluruhannya jurnal ini cuba menunjukkan kepada kita bahawa terdapat definisi  roh yang berbeza-berbeza berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan sunnah  serta  pendapat-tokoh ilmuan islam. Penulis cuba menghuraikan definisi roh, jiwa ,akal, roh dan huraiannya dalam as-Sunnah    serta  hubungan di antara jiwa dan roh, yang bersifat saling memerlukan mengikut perspektif  imam al-Ghazali. Penulis juga melihat definisi roh menurut imam al-Ghazali menyentuh persoalan dalaman dan kejiwaan manusia, yang berkait dengan unsur-unsur seperti nafsu, ruh, qalbu dan akal (al-Ghazali, t. th: 59). Menurut penulis lagi Imam Al-Ghazali membahagikan roh manusia kepada tiga unsur yang membezakannya dengan roh makhluk-makhluk lain iaitu hati (al-Qalb), nafsu(al-Nafs) dan akal (al-‘Aql). Penulis  juga menjelaskan maksud jasad seperti yang tercatat dalam surah as-sajdah yang mana nabi Adam a.s diciptakan dalam bentuk jasad kemudian ditiupkan roh dan seterusnya barulah dijadikan penglihatan dan pendengaran. Manakala Roh juga  dirujuk sebagai malaikat jibril a.s yang Allah turunkan pada malam al-Qadar seperti yang terdapat dalam surah al-Qadr. Menurut Ibrahim (2008) terdapat kepelbagaian  takrifan mengenai roh dengan takrifan yang berbeza-beza yang terdapat di dalam al-Quran.
Selain itu juga, penulis juga memberi takrifan tentang akal yang mana Al-Ghazali melihat akal sebagai salah satu entiti kerohanian yang memberikan kemampuan kepada manusia untuk berfikir dan membuat penaklukan bagi mengetahui segala hakikat tentang sesuatu. Akal sebagai tenaga untuk berfikir tentang baik buruknya sesuatu perkara dan merasakan segala perubahan keadaan sehingga dapat mengambil manfaat darinya. Disebut juga roh di dalam as-Sunnah yang mana Rasullullah s.a.w menjawab jika ditanya tentang roh maka itu adalah urusan tuhanku (hadis Muslim) dan menurut Ibnu Qayim Rasullullah tidak menjawab persoalan roh sehinggalah diwahyukan oleh Allah kepadanya dan persoalan roh itu bukan dalam pengetehuan manusia.


3.1       PENILAIAN
            Penulis cuba menghuraikan konsep Roh dengan pelbagai maksud yang berbeza-beza berdasarkan dalil-dalil ayat al-Quran diantaranya roh itu adalah jisim lembut merujuk surah al-Isra`, roh sebagai ruh qudus surah al-Nahl, roh sebagai Jibril a.s surah al-Qadr. Terdapat juga   roh sebagai al-Quran menurut al-Gahazali ( 1975).Manakala roh dalam as-Sunnah menurut Ibnu Qayim setiap persoalan roh tidak dijawab oleh Rasullullah sehinggalah diwahyukan oleh Allah kepadanya bahkan  persoalan roh itu bukan dalam pengetehuan manusia.
 Penulis juga memberikan senarai panjang para sarjana dan ilmuan yang telah menjalankan pelbagai penyelidikan, pemerhatian, perbincangan intelektual, dan menghasilkan, penulisan seperti al-Razi (2000) (2004), al-Ghazali (1975),Saqirus (2009), al-Masir (2002) Ibrahim (2008) Ini adalah penting kepada pengkaji-pengkaji baru. Banyak juga pendapat daripada sarjana dan ilmuan ini telah menjadi rujukan bagi membantu dalam membuat penyelidikan dan penulisan ilmiah

3.1.1    TEMA
            Penulis telah memilih tema falsafah berkenaan roh yang termasuk dalam kategori metafizik sebagai fokus utama penulisan beliau pada kali ini. Ini bertepatan dengan sasaran utama penulisan beliau iaitu kepada kepada pemikir-pemikir ilmuan islam dan mahasiswa dan mahasiswi di Institut pengajian tinggi dan individu-individu yang cintakan ilmu.

3.1.2    CIRI-CIRI
            Penulisan penulis ini bercirikan penulisan ilmiah dan dipersembahkan dengan mewujudkan ciri-ciri kajian, dapatan dan hasil dapatan bagi menguatkan lagi hujah agar boleh menyakinkan pembaca menerima pendapat beliau.


3.1.3    KAITAN TEORI, PENDAPAT DAN AMALAN
           
 Penulis telah berjaya memberikan banyak pendapat daripada para sarjana dan ilmuan tentang pengertian roh yang berbeza-beza berdasarkan dalil al-Quran, as-Sunnah dan pendapat ahli pemikir. Melalui pendapat yang wujud ini penulis cuba meyakinkan pentingya memahami konsep roh yang merupakan salah satu daripada perkara ghaib ataupun sam`iyyat. Pendapat ilmuan al-Ghazali (1975) yang memberikan definisi roh sebagai al-Quran dan wahyu bersandarkan surah al-Ghafir, roh juga sebagai Isa a.s  tanpa bapa dilahirkan merujuk surah an-Nisa`, roh sebagai Inayah surah al-Mujadalah, roh sebagai jibril pada malam al-Qadar dalam surah al-Qadr.Selain itu, roh juga merujuk kepada hijab di antara mnalaikat Jibril a.s dan rasullullah yang mana rasul dapat melihat jibril dalam rupa bentuk yang asal sebanyak dua kali iaitu ketika permulaan kenabian dan juga pada malam Israk dan mikraj, surah al-Najm :14-15.

            Selain itu terdapat juga pendapat ilmuan, seperti al-Razi (2000) yang menyatakan bahawa  Jibril a.s pernah berkata “Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah untuk memberikan kepadamu seorang anak lelaki yang suci berdasarkan dalil surah Maryam, ayat 19. Manakala al-Ghazali (1975) memberikan maksud roh sebagai kuasa maha pencipta iaitu Allah dan wahyu serta  ilham adalah salah satu tugas  daripada jenis-jenis malaikat. Perkataan roh juga sebagai wahyu yang diturunkan sebagai peringatan dan diturunkan kepada sesiapa sahaja tentang hari kiamat yang mana tiada lagi manfaat harta dan keturunan pada hari tersebut.

            Penulis juga telah membawa pembaca melihat kepada pendapat Saqirus (2009) wujud hikmah dan rahsia disebalik kejadian roh dan merupakan kelebihan yang terdapat kepada manusia serta meyandarkan kepada dalil bersumberkan al-Quran maksudnya “Tidaklah aku berikan kepadamu ilmu melainkan sedikit sahaja”.
          
  Akhirnya, penulis membawa pembaca melihat pendapat al-Ghazali dalam kitab Mukadimah yang melihat kepelbagaian daya dalam jiwa yang merujuk kepada jiwa yang satu “al-Nafs”.yang mana hubungan di antara jasad dan roh dilihat dalam dua dimensi iaitu fizikal merujuk kecenderungan kepada haiwan dan  kerohaniaan merujuk kepada hakikat diri yang sebenar yang membawa kepada mengenal tuhan, al Ghazali (1982).


Khamis, 5 November 2015

UPSR BOCOR, SALAH SIAPA?



Negara digemparkan dengan “Tsunami” soalan peperiksaan UPSR bocor sehingga terpaksa ditangguhkan pada satu masa yang lain. Penulis merasakan isu kebocoran soalan UPSR menyebabkan Kementerian Pendidikan menanggung malu dan kecewa. Usaha pantas kerajaan dan pihak berkuasa yang bertindak menangkap dan menahan pesalah yang disyaki dilihat sedikit mangubat dan menyejukkan hati para ibu bapa dan masyarakat. Antara mereka yang ditahan sehingga kini melibatkan 11 orang individu daripada empat buah negeri. Kesalahan mereka ini boleh disabitkan dibawah seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana memiliki dan mendedahkan kepada umum bahan rasmi kerajaan. Persoalannya di manakah letaknya nilai integriti sebagai warganegara Malaysia? Adakah sudah tergadai dek kerana bahana rasuah?
Ibu bapa dan murid juga melahirkan kemarahan mereka sambil menyeru kerajaan mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap apa yang terjadi. Beberapa individu tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua yang terlibat. Adalah menjadi kelaziman atas rasa integriti dan tanggungjawab maka dua orang pegawai tertinggi Majlis Peperiksaan Malaysia digantung perkhidmatan serta merta. Adakah dengan memohon maaf akan meredakan kemarahan dan  tekanan pelbagai pihak?.Tekanan sudah pasti melanda kepada murid-murid. Bahkan Generasi semuda ini terpaksa menjadi mangsa kepada isu integriti peperiksaan manakala guru dan ibu bapa turut kecewa dan marah. Segalanya Nampak sudah mencalar transformasi pendidikan yang kian rancak dijalankan.
Sistem pendidikan Negara kita merupakan sistem yang diiktiraf diperingkat dunia dan kemelut isu ini sudah pasti menjejaskan mutu system pendidikan Negara. Kita tunggu dan lihat apakah langkah kerajaan bagi menanggani masalah ini? Adakah rakyat akan kembali meyakini system pendidikan Negara? Pelbagai andaian yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab mengenai isu kebocoran soalan UPSR ini supaya akhbar menjadi laris seperti pisang goreng panas. Ada pihak yang membuat spekulasi kemungkinan wujud rangkaian dan sabotaj antara warga pendidik untuk membocorkan soalan UPSR tersebut. Walaupun begitu andaian ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh Menteri Dalam Negeri dan kemungkinan lain seperti terdapat unsur rasuah akibat terlalu obses untuk mendapatkan “A” juga mungkin boleh berlaku dek mengejar ranking sekolah. Isu ini juga mungkin pernah berlaku kebocoran soalan sebelum ini, tetapi dapat dikawal di kalangan individu dan kelompok masyarakat tertentu dan disebabkan ledakan teknologi maklumat di hujung jari seperti Whats App, Telegram dan Facebook ia mungkin menjadi punca penyebaran soalan ini berlaku terlalu cepat sehingga tidak dapat dikawal. Mana tugas pihak berwajib? Sepatutnya pihak yang berkuasa seperti polis dan SPRM perlu melakukan siasatan segera untuk mengenal pasti sama ada individu yang ditahan pernah melakukan perkara yang sama pada tahun-tahun sebelum ini.
Langkah drastik kerajaan melantik beberapa individu yang pakar dan berprofil tinggi adalah diharapkan akan segera menyelesaikan kemelut ini. Langkah ini juga dilihat realistik apabila Menteri Pendidikan melantik pengerusi jawatankuasa bebas seperti Tun Zaki Azmi yang banyak pengalaman dan beliau juga merupakan bekas Ketua Hakim Negara bagi penulis adalah tepat pada masanya. Timbul persoalan apabila  peperiksaan bocor sepatutnya MPM menyediakan pelan kontigensi. Mengapa tidak disediakan soalan ganti? Kesannya adalah besar kerana akan melibatkan kos yang tinggi, bebanan tugas guru bertambah bahkan kewibawaan Kementerian juga mungkin akan turut dipersoalkan.
Penulis juga melihat sikap terlalu Obses untuk mendapat gred A merupakan faktor penyebab. Kita boleh lihat ada dikalangan ibu bapa yang sanggup berbelanja besar supaya anak boleh mendapat gred A dengan menghantar ke pusat tuisyen. Seolah-olah ibu bapa pula yang hendak belajar. Tambahan pula kemasukkan ke sekolah berasrama penuh juga meletakkan syarat yang tinggi iaitu perlu mendapat 5A sebagai syarat kemasukkan. Jesteru, secara tidak langsung sistem pendidikan yang kita ada kini menjadi tekanan kepada semua pihak. Kejayaan pelajar bukan hanya dilihat pada gred A semata-mata bahkan harus dilihat pencapaian mereka secara holistik.
Beberapa langkah penyelesaian harus difikirkan bersama oleh semua pihak bagi menyelesaikan masalah ini. Perasaan tertekan dan rasa tertipu pasti ada dikalangan calon UPSR 2014. Oleh itu, peranan guru, ibu bapa dan terutamanya guru kaunseling adalah sewajarnya diperlukan disaat tersebut. Penulis juga ingin tampil mempersoalkan tahap kawalan penyediaan kertas soalan yang pastinya melibatkan Prosedur operasi standard (SOP). Tidak kira sehebat manapun SOP itu, jika pekerjanya tidak amanah, tidak nerintegriti dan tidak bertanggungjawab maka apa sistem sekalipun pun akan tetap gagal kerana perosak system SOP tersebut adalah manusia.
Sementara itu, kualiti pendidik atau guru perlu juga dipertingkatkan dari semasa kesemasa. Sifat professional dan integriti unggul para pendidik harus ditambahbaik bagi melahirkan modal insan yang hebat sepertimana yang disarankan oleh kerajaan. Selain itu,guru perlu merhusabah mengenal pasti kelemahan dan kekuatan diri, membuat anjakan paradigma agar sejajar dengan kehendak pendidikan era globalisasi.
Sistem pendidikan yang kita bina janganlah terlalu jumud. Jangan disebabkan anak kita tidak mendapat gered A dalam UPSR kita menyalahkan mereka dan berasa malu. Peperiksaan UPSR bagi penulis adalah permulaan perjalanan pendidikan anak-anak. Apa yang penting adalah pemupukan sifat integriti dan kejujuran kepada mereka dan perlu disemai semenjak kecil lagi. Kita terlalu kecoh bila soalan peperiksaan UPSR bocor tetapi soalan bocor ketika di alam barzah tiada seorang pun yang ambil peduli. Jangan sampai matlamat menghalalkan cara. Sahut dan jalankan tugas mendidik sebagai satu amanah Allah dan bukan kerana gaji semata-mata. Masalah akan timbul jika integriti tidak diamalkan dan kesanya lihat apa yang berlaku pada hari ini sesuai dengan kata bidalan jangan disebabkan nila setitiik maka rosak susu sebelanga.



PROFESIONALISME GURU

 PENGENALAN 

Dunia kerjaya semakin kompetitif bukan sekadar mencukupkan keperluan hidup bahkan menjadi cabaran yang hebat dalam kehidupan seseorang. Kerjaya sebagai tenaga pengajar di Politeknik memerlukan komitmen sangat tinggi lebih-lebih lagi sebagai pensyarah Pendidikan Islam. Matlamat Politeknik ketika ini adalah  untuk menjadi pusat pendidikan bertaraf dunia dan bakal bertukar status Politeknik universiti  pada 2015 nanti dengan dasar transformasi ke seluruh Politeknik.  

Pendidikan merupakan satu bentuk interaksi manusia menurut Hasan Lenggulung  (1987). Ia adalah suatu tindakan sosial yang memungkinkan berlakunya satu jaringan hubungan kemanusiaan, jaringan-jaringan ini bersama dengan hubungan dalam peranan-peranan individu di dalamnya yang menbentuk watak pendidikan sesebuah masyarakat.  Pendidikan  bukan sekadar menghabiskan sukatan pelajaran  sahaja, malah ia lebih dari itu dan bertujuan untuk mendidik anak bangsa, membentuk peribadi, rohani, emosi, intelektual dan jasmani.Tanggungjawab mendidik bukan sahaja terletak di bahu pensyarah semata-mata,  malah semua  pihak  perlulah  memainkan peranan  dan memberi komitmen dalam menggembleng  tenaga  membentuk  anak-anak bangsa menjadi manusia yang berguna kepada agama,  bangsa  dan negara serta melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.

Memang  tidak dapat dinafikan tanggungjawab dan peranan pendidik kini lebih mencabar apatah lagi dengan ledakan perkembangan dunia tanpa sempadan atau globalisasi yang menuntut para guru dan pendidik untuk lebih berusaha gigih bagi menghasilkan anak didik yang benar-benar berilmu, berakhlak mulia, mampu berdikari, mempunyai jati diri dan mampu bersaing pada peringkat nasional mahupun global.

Matlamat utama Pendidikan Islam adalah untuk memberikan kemahiran pengetahuan dan membangunkan insan yang bertakwa kepada Allah SWT. Untuk merealisasikan matlamat tersebut ia perlu kepada modal insan yang bergelar pendidik. Tugas mengajar dan mendidik merupakan tugas yang amat penting dan mulia  kerana ia merupakan kesinambungan dakwah Nabi SAW.

Profesionalisme  yang tinggi perlu ditonjolkan dalam diri setiap Pensyarah Pendidikan Islam Politeknik Merlimau (PPIPMM) untuk memperlihatkan kepada pelajar dan warga Politeknik bahawa PPIPMM merupakan pensyarah  yang profesional  dalam  semua  bidang serta mempunyai integriti dan sahsiah yang tinggi dalam mendidik pelajar. Keupayaan menguasai ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) terkini juga merupakan bukti bahawa pensyarah Pendidikan Islam kini bersifat profesional. Hal ini kerana, PPIPMM  bukan sahaja pensyarah yang mengajar Pendidikan Islam tetapi juga merupakan contoh dan ikutan untuk menjadi insan yang mulia dan bertaqwa disamping mempunyai ciri-ciri kepimpinan keagamaan yang tinggi.

Terdapat banyak laporan di stakeholder melibatkan masalah guru seperti penderaan, ponteng kerja, rasuah, tidak berintegriti, masalah dadah dan sebagainya. Di antara contoh-contoh salahlaku yang melibatkan guru ialah pada 15 Disember 2005, seorang guru tuisyen, Patricia Barbara Shanta, 54 tahun telah ditahan kerana mendera pelajar  dan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas pelajar tahun tiga. Sementara itu, seorang guru didakwa kerana telah menendang pinggang seorang pelajar tahun enam sebanyak dua kali. Kejadian ini berlaku pada  2 April 2007 di salah sebuah sekolah di Sik, Kedah. Sementara di Alor Setar pula, seorang guru perempuan didakwa memukul seorang murid tahun tiga di sebuah sekolah rendah dengan menggunakan pembersih habuk plastik bertangkai besi kerana murid tersebut tidak membersihkan kelas pada waktu rehat seperti yang ditetapkan dalam jadual tugasan harian. Semua kes-kes tersebut  sebenarnya berkait rapat dengan  sahsiah dan tahap profesionalisme guru.


Selasa, 14 Julai 2015

Hukum Solat Jumaat Apabila Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat

JAWAPAN: 
Persoalan mengenai berlakunya hari raya dan Jumaat pada hari yang sama, dan adakah gugur kewajipan (menunaikan) solat Jumaat ketika itu, maka ianya adalah perkara khilafiah di kalangan ulama disebabkan perbezaan mereka dalam menentukan kesahihan hadis-hadis dan athar yang dijadikan hujah dan (perbezaan) pemahaman mereka ke atas (mafhum)hadis berkenaan.
Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasai’, Ibnu Majah, dan Al-Hakim daripada Iyas bin Abi Ramlah Ash-Shami, beliau berkata : “Aku telah melihat Mu‘awiyah bin Abi Sufian bertanyakan Zaid bin Arqam r.a : “Adakah kamu pernah menyaksikan dua hari raya berkumpul pada satu hari yang sama (ketika kamu) bersama Rasulullah S.A.W?” Beliau (Zaid bin Arqam r.a) menjawab: “Ya!” Beliau (Mu‘awiyah bin Abi Sufian) bertanya (lagi) : “Bagaimana baginda melakukan(nya)?” Jawab beliau : “Baginda (S.A.W) melakukan solat hari raya, kemudian baginda telah meringankan (kewajipan) solat Jumaat, lalu baginda (S.A.W) bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang mahu bersolat (Jumaat), maka hendaklah dia bersolat.”Daripada Abi Hurairah r.a, daripada Rasulullah S.A.W, baginda telah bersabda (mafhumnya): “Telah terhimpun pada hari kamu ini dua hari raya, maka sesiapa mahu, dia tidak perlu (menunaikan) solat Jumaat, sedangkan kami (tetap mahu) solat Jumaat.”
Solat Hari Raya Tidak Menggugurkan Kewajipan Solat Jumaat
Terdapat sebahagian ulama yang berpendapat bahawa menunaikan solat hari raya tidaklah memberikan keringanan hingga gugurnya solat Jumaat di mana mereka (sebahagian ulama) berhujah dalil kewajipan solat Jumaat adalah umum bagi setiap hari (termasuk hari raya – pent.). Dan, kedua-duanya (solat hari raya dan solat Jumaat) adalah syiar yang berdiri sendiri, dan tidaklah bersifat “boleh mengganti antara satu sama lain.” Manakala, pelbagai dalil daripada hadis dan athar tidaklah kuat (menyokong) pengkhususannya (bahawa solat Jumaat itu boleh diberikan keringanan untuk tidak menunaikannya dalam persoalan seperti ini – pent.), kerana terdapat percanggahan pada sanadnya, dan inilah pandangan mazhab Hanafi dan Maliki.
Gugur Solat Jumaat, Wajib Ganti Dengan Solat Zuhur
Imam Ahmad r.h berpendapat – sebagaimana salah satu pandangan Imam Ash-Shafi‘i r.h – gugur kewajipan solat Jumaat bagi sesiapa yang telah melaksanakan solat hari raya, tetapi mereka diwajibkan solat Zuhur ketika itu berdasarkan hadith-hadith dan athar terdahulu (juga).
Keringanan Bagi Penduduk Di Pedalaman
Jumhur ulama – antaranya juga pandangan Imam Ash-Shafi‘i r.h yang paling sahih – berpendapat kewajipan Jumaat (hanya) ke atas penduduk bandar (sahaja) dan gugur kewajipannya ke atas penduduk pedalaman yang cukup syarat-syarat wajibnya, kerana mewajibkan solat Jumaat berserta solat hari raya kepada mereka (penduduk pedalaman) akan memberikan kesukaran dan kesulitan.Mereka berhujah dengan satu riwayat daripada Imam Malik di dalam Al-Muwatta’ bahawa ‘Uthman bin ‘Affan r.a telah berkata di dalam khutbahnya : “Sesungguhnya telah berkumpul pada kamu hari ini dua hari raya, maka sesiapa daripada penduduk Al-‘Aliyah (iaitu suatu tempat yang jaraknya kira-kira tiga batu daripada Madinah Al-Munawwarah) yang ingin menunggu (solat) Jumaat, maka hendaklah dia menunggunya, tetapi sesiapa yang mahu pulang, maka sesungguhnya aku izinkan baginya.”
Dan, perkara ini tidak diingkari oleh seorang sahabat pun, lalu jadilah ia ijma’ sukuti. Berpandukan hadis-hadis seperti inilah, para ulama memahami hadis yang memberikan keringanan meninggalkan solat Jumaat bagi sesiapa yang telah mendirikan solat hari raya.
Permasalahan ini sifatnya khilafiah
Maka itu, permasalahan dalam perkara ini adalah luas selagi mana masalah tersebut bersifat khilafiah. Oleh yang demikian, permasalahan ini bukanlah bermaksud (wujudnya) pertentangan antara satu (mazhab atau ulama) dengan selainnya. Jadi, didirikan solat Jumaat di masjid-masjid berasaskan dengan asal (dalil) dan lebih berhati-hati. Justeru, sesiapa yang ingin hadir solat Jumaat atau mahu mengambil keringanan (tidak hadir solat Jumaat) kerana mengikuti pandangan mereka (ulama) yang menggugurkan kewajipannya dengan (sebab) telah menunaikan solat hari raya, maka dia boleh berbuat demikian, dengan syarat dia bersolat Zuhur sebagai ganti tanpa mengkritik (atau menyanggah) orang yang hadir solat Jumaat atau sesiapa yang mendirikannya (solat Jumaat) di masjid-masjid atau mencetuskan fitnah (disebabkan sikap menyanggah atau mengkritik – pent.) dalam perkara yang terdapat keluasan perbezaan (pendapat)  para (ahli) salaf padanya.
Wajib Menggantikan Solat Jumaat Dengan Zuhur
Berhubung gugur solat Zuhur yang (dikira) memadai dengan solat hari raya, maka jumhur ulama salaf dan khalaf berpendapat : “Bahawa gugur (kewajipan) solat Jumaat dengan sebab rukhsah atau sakit atau terluputnya waktu, maka wajiblah menggantikannya dengan solat Zuhur.”

WalLahua‘lam.
* Terjemahan bebas daripada laman sesawang Dār-ul-Iftā’ Miṣriyyah http://www.dar-alifta.org/viewfatwa.aspx?id=1401&mu&Home=1&LangID=1 –Fatwa Mufti Besar Republik Arab Mesir, Profesor Dr. ‘Alīy Jum‘ah Muḥammad

Khamis, 9 Julai 2015

Matlamat Tamadun Islam


Secara umumya matlamat utama tamadun Islam ialah untuk memartabatkan Islam sebagai Ad-Deen iaitu satu cara hidup yang lengkap dan komprehensif. Manakala matlamat khusus tamadun Islam pula adalah untuk menjalinkan hubungan berikut:


1) HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ALLAH S.W.T   
    (HABLUMMINALLAH)

Manusia dapat mengenal Allah s.w.t melalui rukun iman yang enam dan berhubung dengan-Nya melalui rukun Islam yang lima. Keimanan mempunyai unsur kekuatan yang mencukupi untuk membangun individu dan masyarakat supaya menjadi umat yang berjiwa besar.

Lihatlah masyarakat Arab Jahiliah yang dahulunya buta huruf dan hidup dalam keadaan mundur tiba-tiba muncul sebagai satu bangsa penakluk, pemerintah dan tamadun yang agung setelah mereka beriman.

Pelaksanaan rukun Islam yang lima mempengaruhi diri individu muslim untuk mengiktiraf secara sukarela tentang kewujudan dan keesaan Allah s.w.t itu sendiri. Keupayaan seseorang melaksanakan rukun Islam yang lima membuktikan ketinggian iman dan berjaya membentuk peribadi muslim yang warak dan tawaduk.

Oleh itu, perhubungan dengan Allah s.w.t adalah yang paling unggul, bahagia dan suci murni. Di samping itu, hubungan dengan Allah ada implikasinya tersendiri:

·         Pengiktirafan terhadap pencipta
·         Pengiktirafan terhadap keagungan pemerintahan-Nya dan kebesaran kekuasaan-Nya
·         Pengiktirafan terhadap nikmat-nikmat Allah
·         Menyedari dan mengharapkan rahmat Allah
·         Penumpuan kepada Allah melalui permohonan dan doa
·         Cinta dan rindukan Allah sebagai matlamat


2) HUBUNGAN MANUSIA DENGAN MANUSIA
    (HABLUMMINANNAS)

Manusia dijadikan oleh Allah s.w.t daripada asal keturunan yang satu iaitu daripada Adam a.s. bersama pasangan hidupnya Siti Hawa. Maka daripada kedua-duanya lahir manusia dan terus membiak memenuhi alam sehingga hari ini. Tiap-tiap manusia wajib menganggap manusia yang lain tidak kira bangsa, tempat dan warna kulit adalah mempunyai hak yang sama daripada segi kemanusiaan dan kebebasan. Firman Allah s.w.t  dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dan seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa dan bersuku-suku  supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”                                                                                                                                                          (Al-Hujarat : 13)

Hubungan dan tatacara pergaulan dengan sesama manusia hendaklah berasaskan persaudaraan seagama, berbeza agama dan kemanusiaan secara amnya. Kesempurnaan masyarakat hanya dapat diwujudkan dengan adanya kerjasama, tolong-menolong dan perpaduan dengan cara penyelarasan undang-undang yang menentukan hak setiap masyarakat tidak dicerobohi. Kepentingan orang ramai hendaklah diutamakan daripada kepentingan diri sendiri.


3) HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ALAM

Allah s.w.t menciptakan seluruh alam ini untuk keperluan manusia. Alam yang penuh dengan hidup-hidupan, tumbuh-tumbuhan, udara yang nyaman, air yang bersih, cahaya yang menyegarkan serta dijadikan siang dan malam silih berganti adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Hal ini bukanlah bererti manusia bebas menggunakan nikmat ini dengan sesuka hatinya, sebaliknya ia adalah satu amanah untuk ditadbir secara terancang ke arah mengabdikan diri kepada Allah untuk mencari keredhaan-Nya. Di tangan manusia terletaknya kemakmuran alam dan segala penghuninya. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran yang bermaksud:

Dan dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi ini untuk kamu  semua.”                                                                                                                                                 (Al-Baqarah : 29)

Rabu, 24 Jun 2015

PENGERTIAN TAMADUN MENURUT SARJANA

PENGERTIAN TAMADUN MENGIKUT SARJANA ISLAM


Seorang sarjana Mesir iaitu Saiyid Qutb telah merumuskan bahawa “Tamadun Islam ialah segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat seperti sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan  syariat Allah serta bercirikan nilai-nilai moral Islam.”

Sarjana Islam dari Syria iaitu Said Hawa mengatakan “Tamadun Islam ialah segala aspek kemajuan yang berlandaskan kebudayaan Islam serta hasilnya juga relevan dengan kebudayaan tersebut manakala Tamadun Jahiliah ialah segala bentuk kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebendaaan dengan tidak mengambil kira aspek rohani dan moral.”

Menurut S.M Naquib Al-Attas “Tamadun Islam ialah keadaan kehidupan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.”


PENGERTIAN TAMADUN MENURUT SARJANA BARAT
 

Arnold Toynbee berpendapat “Tamadun ialah sistem masyarakat yang dapat membantu manusia menambah hasil pengeluaran atau produktiviti  dan ia mempunyai 4 elemen iaitu bahan-bahan ekonomi, sistem politik, pengetahuan dan seni“

Darey Ribeiro menggariskan bahawa masyarakat bertamadun ialah masyarakat yang memiliki ciri-ciri berikut :

·         Berakhir cara nomad dan mencipta alat teknologi dalam pertanian
·         Bermula pembahagian tugas berasaskan kumpulan
·         Pertumbuhan kota dan negara, wujud status sosial, sistem pengairan, pertanian peralatan logam, tembaga serta wujud tulisan angka dan kalendar
·         Wujudnya penggunaan wang syiling bagi memudahkan urusan perdagangan
·         Revolusi perdagangan
·         Revolusi penternakan
·         Revolusi teknologi
·         Revolusi industri


PENGERTIAN TAMADUN


Menurut Kamus Dewan : Tamadun boleh diertikan sebagai kebudayaan, kemajuan, peradaban sesuatu bangsa yang bertamadun.

Dalam konteks Islam, ia boleh dilihat dari segi pembinaan akhlak dan tatasusila manusia yang baik serta beradab sesama manusia dan pencipta-Nya.

PENGERTIAN TAMADUN DALAM BAHASA LAIN


1.      Bahasa Arab : Kata dasarnya ialah tamaddana atau madana yang bererti:

  • Suatu lokasi sebagai tempat tinggal
  • Membangun sesuatu kawasan hingga menjadi suatu perbandaran
  • Fenomena dari perubahan cara hidup daripada liar atau nomad kepada  kehidupan yang berbentuk maju (Kamus Al-Munjid)
  • Kehalusan adat (Kamus Idris Marbawi)

2.      Bahasa Inggeris : Civilization yang membawa maksud:

  • The process of civilizing or become civilized (Noah Webster)
  • An advanced stage of human social development with a high level of art, religion, science, government and written language (Longman dictionary of contemporary English)
  • Civilize – memperbaiki tingkah laku iaitu keluar dari kehidupan yang kasar kepada kehidupan yang lebih baik yang mempunyai kehalusan akal budi dan kesopanan

3. Bahasa Tamil : Nakar ikam - nakar ialah kota dan ikam pula ialah pembentukan bandar


  1. Bahasa Cina : Wen ming  yang bererti cerah atau bercahaya yang mana merujuk kepada unsur-unsur material dan spiritual yang muncul daripada pencapaian sejarah perkembangan manusia


Jumaat, 19 Jun 2015

RAMADAN BULAN IBADAH




Bulan Ramadan bulan Ibadah. Seringkali tibanya bulan Ramadan surau-surau dan masjid-masjid penuh dengan kesesakan umat Islam untuk menunaikan solat berjemaah di samping datang untuk menunaikan solat sunat tarawikh pada malam harinya. Fenomena ini adalah baik jika dapat dikekalkan momentumnya pada bulan-bulan lain juga.
Kedatangan Ramadan yang mulia diharapkan akan merubah diri kita untuk menjadi insan yang lebih baik apabila berakhirnya tarbiah Ramadan.Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga kerana tidak menjaga pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat. Dosa mata paling dominan apabila melihat benda-benda yang haram, dosa mulut apabila berbicara perkara-perkara yang lagha dan mengumpat, dosa telinga apabila mendengar berita palsu dan sebagainya.
Apabila kita berpuasa, kita beranggapan puasa itu adalah sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi kita terlupa bagaimana cara untuk menggemukkan pahala puasa kita. Kita berpuasa tetapi kita tidak menjaga aurat kita, Ramai yang berpuasa tetapi terlupa untuk melaksanakan solat lima waktu dan sebagainya.Ramadan merupakan bulan ibadah. Bulan untuk kita menggandakan usaha beribadah seperti membanyakkan membaca al-Quran, bertadarus, berzikir, bersedekah, bertahajud, membanyakkan berdoa dan sebagainya.
Kemeriahan bulan Ramadan dapat juga dilihat dengan kewujudan Bazar Ramadan yang dibuka pada sepanjang bulan Ramadan. Hal ini adalah amat baik tetapi kita jangan terleka berniaga hingga meninggalkan yang wajib seperti solat lima waktu atas alasan penat berpuasa di siang hari. Kita juga disarankan mengurangkan menonton televisyen pada bulan ini supaya dapat fokus kepada ibadah. Semoga Ramadan kali ini akan menjadi Ramadan yang terbaik buat kita dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba yang bersyukur.


Rabu, 25 Mac 2015

Cara setting bluetooth headset smartphone Android



1. Untuk perangkat handsfree bluetooth yang sama sekali belum pernah digunakan atau masih dalam keadaan baru, maka sebelumnya pastikan terlebih dahulu jika perangkat headset bluetooth tersebut telah di charger sedikitnya selama 6 jam. Hal ini merupakan bagian dari prosedur standar yang memang direkomendasikan oleh hampir setiap produsen Android smartphone yang di bundlingdengan perangkat bluetooth.
2. Setelah handsfree atau handset bluetooth sudah di charger, maka yang selanjutnya Anda lakukan adalah memastikan bahwa perangkat tersebut benar-benar dalam keadaan mati.
3. Kemudian pegang perangkat handsfree bluetooth dengan jarak sekitar 25 cm dari handphone.
4. Lalu tekan dan tahan tombol daya (power) pada perangkat bluetooth hingga lampu LED indikator menyala dan berkedip biru dan merah. Indikator ini menandakan headset bluetooth telah diaktifkan.
5. Selanjutnya adalah menghidupkan fungsi bluetooth pada ponsel Anda. Untuk melakukannya, maka masuk ke pengaturan ponsel dan centang tombol “Off” hingga menjadi “On” hingga bluetooth pada ponsel menjadi aktif.
6. Biarkan perangkat mencari handsfree bluetooth yang terdekat. Umumnya bluetooth bawaan smartphone (bundling) memiliki nama masing-masing. Teknologiz.com melakukan uji coba ini terhadap 2 buah smartphone, yaitu Acer Liquid Z110 dan Acer Ferrari Liquid S100F Android yang kemudian perangkat tersebut dikenali sebagai Acer BT.
7. Beberapa perangkat memerlukan kode yang harus dimasukkan sebagai kode sinkronisasi dandefault dari kode tersebut adalah 0000 (empat buah nol)
8. Tunggulah beberapa saat hingga muncul pesan “Handsfree Connection Established“. Nah, perangkat headset bluetooth milik Anda pun kini telah siap untuk menelepon ataupun menerima panggilan masuk.

sumber:http://zonafone.com/

Rabu, 18 Februari 2015

SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJIAN UMUM 2015

Assalamualaikum semua,

JOM PI SEMINAR!

kepada rakan SAHABAT  yang berminat membentang kertas kerja atau menjadi peserta seminar pengajian umum peringkat kebangsaan bertempat di Politeknik Merlimau pd 28-29 April 2015, Melaka boleh layari blogskpu2015.blogspot.com untuk maklumat lanjut. terima kasih



ustaz azhar idrus-api dunia