Selasa, 14 Februari 2017

Siapakah ahli Kitab?

AHLI KITAB

Ahli Kitab ialah Yahudi dan Nasrani sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran al-Karim. Allah yang menamakan mereka ahli kitab kerana mereka memiliki kitab yang diturunkan Allah kepada Bani Israel, iaitu Taurat kepada Nabi Musa dan Injil kepada Nabi Isa ‘alaihimas-salam. “Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat. Supaya kamu tidak mengatakan: Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka.” (Al-An’am:155-156)


Ahli Kitab juga termasuk dalam golongan orang-orang kafir dan musyrik sama dengan penyembah berhala, penyembah bintang dan cakrawala serta lain-lain. Namun mereka diberikan hukum yang khusus disebabkan mereka pernah menerima kitab samawi daripada Nabi-nabi mereka yang terdahulu, iaitu kitab Taurat daripada Nabi Musa dan kitab Injil daripada Nabi Isa. Antara hukum yang khusus bagi mereka ialah:

a.   Halal memakan sembelihan mereka, iaitu binatang yang mereka sembelih untuk makan, bukan sembelih untuk selain Allah atau menyebut nama selain Allah ketika sembelih dan daging itu tidak bercampur dengan bahan-bahan lain yang haram dimakan oleh umat Islam. Allah berfirman maksudnya: “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)…” (Al-Maidah:5)
b.   Dihalalkan atau diharuskan lelaki muslim berkahwin dengan wanita-wanita mereka yang baik, yang memelihara kesucian diri dan yang merdeka. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah:5)

Menurut Imam an-Nawawi rahimahullah, ahli kitab yang dihalalkan untuk makan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka terdiri dari dua kategori:
Kategori Pertama: Bukan keturunan Bani Israel. Mereka ini boleh dibahagikan kepada beberapa golongan:

Pertama: Golongan yang diketahui telah memeluk agama Yahudi dan Kristian sebelum kedua-dua agama itu diselewengkan dan dinasakhkan. Golongan ini, halal berkahwin dan makan sembelihan mereka.

Kedua: Golongan yang diketahui menganut agama itu selepas diselewengkan tetapi sebelum di nasakhkan. Sekiranya mereka tetap berpegang dengan yang benar dan menjauhi apa yang diselewengkan, hukum mereka sama dengan yang pertama. Sekiranya mereka mengikuti agama yang telah diselewengkan, maka tidak halal berkahwin dengan mereka.

Ketiga: Golongan yang diketahui menganut kedua-dua agama itu selepas diselewengkan dan dinasakhkan, maka tidak halal berkahwin dan makan sembelihan mereka.
Jadi, golongan yang menganut agama Yahudi dan Kristian selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. tidak haruslah berkahwin dengan mereka.

Keempat: Golongan yang tidak diketahui bilakah mereka menganut agama itu, maka tidak halal berkahwin dengan mereka.

Kategori Kedua: Ahli Kitab dari keturunan Bani Israel. Imam an-Nawawi berkata, ramai di kalangan fuqahak asy-Syafi’eiyyah berkata harus berkahwin dengan wanita Bani Isreal tanpa mengira sama ada datuk nenek mereka menganut agama itu sebelum penyelewengan atau selepasnya. Namun beliau tidak bersetuju dengan pandangan itu.
Walau bagaimanapun, wanita Bani Israel yang datuk nenek mereka menganut Yahudi atau Kristian selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. tidak ada beza dengan wanita ahli kitab yang lain, haram berkahwin dengan mereka.

Kesimpulannya ahli kitab yang merupakan penganut agama Yahudi dan Nasrani tetap ada sehingga sekarang. Namun adakah sembelihan mereka halal dimakan dan wanita mereka halal dinikahi oleh lelaki muslim, bergantung kepada syarat-syarat yang diterangkan di atas.

KREDIT:Maznah binti Daud 
http://zaadut-taqwa.blogspot.my/2014/03/siapakah-ahli-kitab.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ustaz azhar idrus-api dunia