Kaedah Pendidikan Zaman Rasullullah
Rasullullah s.a.w selaku “Role Model”atau contoh
ikutan terbaik merupakan seorang tokoh guru yang telah banyak memperkenalkan
kaedah-kaedah pendidikan. Menurut Al-Jumbalathi dan Abu Futuh al-Tunisi (1973)
mendefinisikan kaedah pendidikan sebagai cara yang diikuti oleh guru bagi
menyampaikan maklumat kepada pelajar. Di antara kaedah pendidikan Rasullullah
s.a.w yang mahsyur ialah :
1.0 Berkhutbah
Teknik syarahan atau khutbah merupakan teknik utama
yang digunakan oleh Rasullullah s.a.w dalam penyampaian dakwah baginda. Bahkan
khutbah ini diwajibkan untuk setiap solat jumaat agar nasihat dan ajaran
baginda dapat disambung pula oleh umatnya sehingga ke hari kiamat. Ini
menunjukkan pendekatan berkhutbah merupakan teknik penting dalam menyampaikan
ajaran islam. Lazimnya teknik berkhutbah ini digabungkan dengan teknik dialog
dan perbincangan selain menggayakan teknik ini dengan penerapan nilai baik kepada
para sahabat. Sebagai contoh, Abu Hurairah r.a menyatakan bahawa pernah sekali
Rasullullah berkhutbah kepada kami dengan sabdanya ( al-Bukhari,1994:180/8):
Terjemahan : Abu Hurairah berkata , Rasullullah
berkhutbah kepada kami dengan sabdanya,”Wahai Manusia Allah mewajibkan
kepada kamu mengerjakan Haji , tunaikanlah haji.” Seseorang lelaki bertanya
:”adakah setiap tahun ,wahai Rasullullah?”Baginda hanya diam sahaja hingga
lelaki tadi mengulanginya pertanyaannya sebanyak tiga kali. Rasullullah s.a.w pun
menjawab “ Jika aku katakan Ya,tentu ianya wajib dilakukan setiap tahun dan
kamu mungkin tidak mampu melakukannya.”Baginda bersabda lagi :” Tinggallah
sesuatu yang aku tidak galakkan kepada kamu. Kemusnahan umat yang terdahulu daripada
kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan tiada persefahaman dengan nabi
mereka . Jadi apabila aku perintahkan kepada kamu , lakukanlah sedaya kamu dan
apabila aku melarang daripada melakukan sesuatu tinggalkanlah.”
(Al-Bukhari)
2.0 Suruhan dan Tegahan
Pendekatan suruhan melakukan sesuatu seperti hadis
yang berbunyi “Buatlah begini dan begitu” menjadi keutamaan kepada Rasullulah
s.a.w berbanding yang berbentuk tegahan seperti “Jangan buat begini dan begitu”
Pada kebiasaanya manusia lebih suka diberikan tunjuk ajar terhadap sesuatu
perkara berbanding menyalahkan apa yang mereka lakukan dalam perkara tersebut.
Menurut pendapat al-Nawawi (2003) perlu untuk
menggunakan arahan suruhan daripada tegahan dengan nisbah sekitar 7:3. Walaupun
metodologi suruhan merupakan yang lebih disukai berbanding tegahan, namun
arahan berbentuk larangan perlu bagi memastikan keterangan bentuk batasan ynag
dilarang itu jelas arahannya ( Kamarul Azmi,2002).
3.0 Isyarat dan Lakaran
Kaedah isyarat merupakan salah satu cara
Rasullullah memberi kefahaman kepada para sahabat ketika menyampaikan
ilmu.(Ab.Halim Tamuri,2012). Sebagai contoh dalam teknik Isyarat baginda
membuat perbandingan tentang peri dekatnya hari Kiamat berbanding dengan jarak
dia diutuskan menjadi Rasul seperti mana yang dinyatakan dalam Hadis
(al-Bukhari, 1994:244/7):
Maksud Hadis: Diriwayatkan daripada Anas bin
Malik r.a katanya Rasullullah s.a.w bersabda:”Jarak masa aku diutuskan dengan
berlakunya hari kiamat adalah seperti dua jari ini(iaitu jari telunjuk dan jari
tengah).”
(al-Bukhari)
Teknik lakaran pula merupakan teknik yang digunakan
oleh nabi sebagai simbol untuk memberikan kefahaman terhadap sesuatu maksud.
Sebagai contoh dalam menafsirkan wahyu Allah S.W.T surah al-An`am ayat 53,
Baginda melakarkan dahulu kepada para sahabatnya (Ibnu Kathir, 1993:181-182/2)
sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Mas`ud (Ahmad ,1994:4205):
Maksudnya: Rasullullah melakar dengan tangannya
satu garis tegak dan bersabda,” Ini
jalan Allah yang lurus”.Kata Ibnu Mas`ud selepas itu Baginda melakarkan
pula garis disebelah kanan dan kiri garisan lurus itu kemudian bersabda,”Inilah
jalan-jalan yang tidak terdapat sesuatu pun jalan melainkan terdapat syaitan
yang memanggil kepadanya.”Kemudian Rasullullah membaca ayat yang berbunyi:
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا
تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم
بِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ (١٥٣)
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya
inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya
dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana
jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan
yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa”. (153)
(Al-An`am, 6:153,Ahmad)
4.0 Soal
Jawab
Kaedah soal jawab juga adalah penting dalam
pembelajaran. Menyoal merupakan sebahagian daripada interaksi P&P antara
guru dan pelajar. Namun demikian strategi-strategi penyoalan masih kurang
difahami oleh kebanyakkan guru. Kaedah menyoal boleh juga digunakan dalam
kaedah membaca dan menulis.(Rashidi Azizan dan Abd Razak Habib,1995 ). Struktur
kaedah tersebut dapat dipetik daripada gambaran al-Quran tentang peristiwa-peristiwa
yang berlaku ke atas Nabi Ibrahim a.s. Beliau telah mengajukan pertanyaan
kepada Allah tentang proses penghidupan semula makhluk yang mati. Persoalan itu
adalah untuk menetapkan hati dan menambahkan ilmu pengetahuan. Allah member
penjelasan tentang persoalan itu menerusi al-Quran. Firman Allah :
وَإِذۡ قَالَ
إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ أَرِنِى ڪَيۡفَ تُحۡىِ ٱلۡمَوۡتَىٰۖ قَالَ أَوَلَمۡ تُؤۡمِنۖ
قَالَ بَلَىٰ وَلَـٰكِن لِّيَطۡمَٮِٕنَّ قَلۡبِىۖ قَالَ فَخُذۡ أَرۡبَعَةً۬ مِّنَ
ٱلطَّيۡرِ فَصُرۡهُنَّ إِلَيۡكَ ثُمَّ ٱجۡعَلۡ عَلَىٰ كُلِّ جَبَلٍ۬ مِّنۡہُنَّ جُزۡءً۬ا
ثُمَّ ٱدۡعُهُنَّ يَأۡتِينَكَ سَعۡيً۬اۚ وَٱعۡلَمۡ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ
حَكِيمٌ۬ (٢٦٠)
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: Wahai
Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk
yang mati? Allah berfirman: Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?
Nabi Ibrahim menjawab: Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon
yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya).
Allah berfirman: (Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian
kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas
tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung
itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah
sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (260)
(Al-Baqarah, 3:260)
5.0 Kaedah Pandang Dengar (Audio
Visual)
Kaedah ini dinyatakan dalam perisyiwa isra` dan Mikraj, seperti
firman-Nya :
سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ
أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ
ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآۚ
إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ (١)
Maksudnya : Maha Suci Allah yang telah menjalankan
hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid
Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan
kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah
Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (1)
(Al-Israk, 17:1)
Rumusan yang kita boleh ambil dari ayat tersebut,
Rasullulah telah dibawa berjalan dari Makkah ke Baitul Maqdis pada suatu malam,
diperlihatkan dan didedahkan dengan pelbagai peristiwa sepanjang
pengenbaraannya. Peristiwa-peristiwa itu berkait rapat dengan ilmu dan
pendidikan yang boleh mewujudkan insan yang bertakwa dan beriman. Jesteru itu,
baginda bukan sahaja diisrak dan dimikrajkan bahkan diperlihatkan pelbagai
peristiwa menerusi penyaksiaan pancaindera
yang dinterpretasikan semula oleh Jibril a.s dengan kata lain ia adalah
pengembaraan yang merangkumi kisah-kisah serta gambaran yang menjelaskan kisah
tersebutagar dapat menguatkan lagi daya ingatan dan keyakinan Rasullullah.
Kaedah ini dinamakan sebagai kaedah pandang dengar (audio visual) dan
kaedah pengenbaraan(rihlah). Hasil daripada kaedah yang disepadukan ini
sungguh berkesan dalam pengukuhan ilmu dan pembentukkan peribadi umat zaman
Rasullullah.
Kesimpulan
Walaupun pelbagai mehnah dan cabaran yang perlu
dihadapi para guru pendidikan Islam, harus bangun menyahut cabaran ini demi
menerapkan ilmu pengetahuan, ilmu akidah, ibadah dan akhlak. Ini kerana konsep
pendidikan dalam Islam adalah pembelajaran yang berterusan, Dengan erti kata
lain guru sebagai pengajar ilmu yang berguna, guru sebagai pendidik adab yang
berkesan kepada membudayakan adab dalam hidup pelajar, guru sebagai pembimbing
ke jalan hidup yang betul dan benar ( Muhammad Uthman el-Muhammady 2003). Kita boleh mengambil
pendekatan dan kaedah pendidikan yang diajar pada zaman Rasulullah dalam
mengembang dan menyebarkan ilmu pengetahuan pendidikan Islam yang berpaksikan
al-Quran dan as-Sunnah demi kesejahteraan dan pembangunan diri, masyarakat,
agama, bangsa dan negara. Pendekatan dan kaedah pendidikan Rasullullah ini
adalah diharapkan dapat digunapakai oleh para pendidik khususnya guru
pendidikan Islam dalam menyebarluas ilmu Allah di mukabumi ini. Sebenarnya
masih terdapat banyak lagi pendekatan dan kaedah pendidikan Rasullullah yang
kita boleh praktikkan ketika proses P&P dan ini hanyalah sebahagian
daripadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan