Secara umumya matlamat utama tamadun Islam
ialah untuk memartabatkan Islam sebagai Ad-Deen iaitu satu cara hidup yang
lengkap dan komprehensif. Manakala matlamat khusus tamadun Islam pula adalah
untuk menjalinkan hubungan berikut:
1) HUBUNGAN
MANUSIA DENGAN ALLAH S.W.T
(HABLUMMINALLAH)
Manusia dapat mengenal Allah s.w.t melalui rukun
iman yang enam dan berhubung dengan-Nya melalui rukun Islam yang lima. Keimanan
mempunyai unsur kekuatan yang mencukupi untuk membangun individu dan masyarakat
supaya menjadi umat yang berjiwa besar.
Lihatlah masyarakat Arab Jahiliah yang dahulunya
buta huruf dan hidup dalam keadaan mundur tiba-tiba muncul sebagai satu bangsa
penakluk, pemerintah dan tamadun yang agung setelah mereka beriman.
Pelaksanaan rukun Islam yang lima mempengaruhi
diri individu muslim untuk mengiktiraf secara sukarela tentang kewujudan dan
keesaan Allah s.w.t itu sendiri. Keupayaan seseorang melaksanakan rukun Islam
yang lima membuktikan ketinggian iman dan berjaya membentuk peribadi muslim
yang warak dan tawaduk.
Oleh itu, perhubungan dengan Allah s.w.t
adalah yang paling unggul, bahagia dan suci murni. Di samping itu,
hubungan dengan Allah ada implikasinya tersendiri:
·
Pengiktirafan terhadap
pencipta
·
Pengiktirafan terhadap keagungan pemerintahan-Nya
dan kebesaran kekuasaan-Nya
·
Pengiktirafan terhadap
nikmat-nikmat Allah
·
Menyedari dan mengharapkan
rahmat Allah
·
Penumpuan kepada Allah
melalui permohonan dan doa
·
Cinta dan rindukan Allah sebagai matlamat
2) HUBUNGAN MANUSIA DENGAN MANUSIA
(HABLUMMINANNAS)
Manusia dijadikan oleh Allah s.w.t
daripada asal keturunan yang satu iaitu daripada Adam a.s. bersama pasangan
hidupnya Siti Hawa. Maka daripada kedua-duanya lahir manusia dan terus membiak
memenuhi alam sehingga hari ini. Tiap-tiap manusia wajib menganggap manusia
yang lain tidak kira bangsa, tempat dan warna kulit adalah mempunyai hak yang
sama daripada segi kemanusiaan dan kebebasan. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya kami
menciptakan kamu dan seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu
berbangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang
yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi
Maha Mengenal.” (Al-Hujarat : 13)
Hubungan dan
tatacara pergaulan dengan sesama manusia hendaklah berasaskan persaudaraan
seagama, berbeza agama dan kemanusiaan secara amnya. Kesempurnaan masyarakat
hanya dapat diwujudkan dengan adanya kerjasama, tolong-menolong dan perpaduan
dengan cara penyelarasan undang-undang yang menentukan hak setiap masyarakat
tidak dicerobohi. Kepentingan orang ramai hendaklah diutamakan daripada
kepentingan diri sendiri.
3) HUBUNGAN
MANUSIA DENGAN ALAM
Allah s.w.t menciptakan seluruh alam ini
untuk keperluan manusia. Alam yang penuh dengan hidup-hidupan, tumbuh-tumbuhan,
udara yang nyaman, air yang bersih, cahaya yang menyegarkan serta dijadikan
siang dan malam silih berganti adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Hal ini
bukanlah bererti manusia bebas menggunakan nikmat ini dengan sesuka hatinya,
sebaliknya ia adalah satu amanah untuk ditadbir secara terancang ke arah
mengabdikan diri kepada Allah untuk mencari keredhaan-Nya. Di tangan manusia
terletaknya kemakmuran alam dan segala penghuninya. Ini ditegaskan oleh Allah
s.w.t di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan dialah Allah yang menjadikan
segala yang ada di bumi ini untuk kamu
semua.” (Al-Baqarah : 29)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan