Selasa, 14 Julai 2015

Hukum Solat Jumaat Apabila Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat

JAWAPAN: 
Persoalan mengenai berlakunya hari raya dan Jumaat pada hari yang sama, dan adakah gugur kewajipan (menunaikan) solat Jumaat ketika itu, maka ianya adalah perkara khilafiah di kalangan ulama disebabkan perbezaan mereka dalam menentukan kesahihan hadis-hadis dan athar yang dijadikan hujah dan (perbezaan) pemahaman mereka ke atas (mafhum)hadis berkenaan.
Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasai’, Ibnu Majah, dan Al-Hakim daripada Iyas bin Abi Ramlah Ash-Shami, beliau berkata : “Aku telah melihat Mu‘awiyah bin Abi Sufian bertanyakan Zaid bin Arqam r.a : “Adakah kamu pernah menyaksikan dua hari raya berkumpul pada satu hari yang sama (ketika kamu) bersama Rasulullah S.A.W?” Beliau (Zaid bin Arqam r.a) menjawab: “Ya!” Beliau (Mu‘awiyah bin Abi Sufian) bertanya (lagi) : “Bagaimana baginda melakukan(nya)?” Jawab beliau : “Baginda (S.A.W) melakukan solat hari raya, kemudian baginda telah meringankan (kewajipan) solat Jumaat, lalu baginda (S.A.W) bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang mahu bersolat (Jumaat), maka hendaklah dia bersolat.”Daripada Abi Hurairah r.a, daripada Rasulullah S.A.W, baginda telah bersabda (mafhumnya): “Telah terhimpun pada hari kamu ini dua hari raya, maka sesiapa mahu, dia tidak perlu (menunaikan) solat Jumaat, sedangkan kami (tetap mahu) solat Jumaat.”
Solat Hari Raya Tidak Menggugurkan Kewajipan Solat Jumaat
Terdapat sebahagian ulama yang berpendapat bahawa menunaikan solat hari raya tidaklah memberikan keringanan hingga gugurnya solat Jumaat di mana mereka (sebahagian ulama) berhujah dalil kewajipan solat Jumaat adalah umum bagi setiap hari (termasuk hari raya – pent.). Dan, kedua-duanya (solat hari raya dan solat Jumaat) adalah syiar yang berdiri sendiri, dan tidaklah bersifat “boleh mengganti antara satu sama lain.” Manakala, pelbagai dalil daripada hadis dan athar tidaklah kuat (menyokong) pengkhususannya (bahawa solat Jumaat itu boleh diberikan keringanan untuk tidak menunaikannya dalam persoalan seperti ini – pent.), kerana terdapat percanggahan pada sanadnya, dan inilah pandangan mazhab Hanafi dan Maliki.
Gugur Solat Jumaat, Wajib Ganti Dengan Solat Zuhur
Imam Ahmad r.h berpendapat – sebagaimana salah satu pandangan Imam Ash-Shafi‘i r.h – gugur kewajipan solat Jumaat bagi sesiapa yang telah melaksanakan solat hari raya, tetapi mereka diwajibkan solat Zuhur ketika itu berdasarkan hadith-hadith dan athar terdahulu (juga).
Keringanan Bagi Penduduk Di Pedalaman
Jumhur ulama – antaranya juga pandangan Imam Ash-Shafi‘i r.h yang paling sahih – berpendapat kewajipan Jumaat (hanya) ke atas penduduk bandar (sahaja) dan gugur kewajipannya ke atas penduduk pedalaman yang cukup syarat-syarat wajibnya, kerana mewajibkan solat Jumaat berserta solat hari raya kepada mereka (penduduk pedalaman) akan memberikan kesukaran dan kesulitan.Mereka berhujah dengan satu riwayat daripada Imam Malik di dalam Al-Muwatta’ bahawa ‘Uthman bin ‘Affan r.a telah berkata di dalam khutbahnya : “Sesungguhnya telah berkumpul pada kamu hari ini dua hari raya, maka sesiapa daripada penduduk Al-‘Aliyah (iaitu suatu tempat yang jaraknya kira-kira tiga batu daripada Madinah Al-Munawwarah) yang ingin menunggu (solat) Jumaat, maka hendaklah dia menunggunya, tetapi sesiapa yang mahu pulang, maka sesungguhnya aku izinkan baginya.”
Dan, perkara ini tidak diingkari oleh seorang sahabat pun, lalu jadilah ia ijma’ sukuti. Berpandukan hadis-hadis seperti inilah, para ulama memahami hadis yang memberikan keringanan meninggalkan solat Jumaat bagi sesiapa yang telah mendirikan solat hari raya.
Permasalahan ini sifatnya khilafiah
Maka itu, permasalahan dalam perkara ini adalah luas selagi mana masalah tersebut bersifat khilafiah. Oleh yang demikian, permasalahan ini bukanlah bermaksud (wujudnya) pertentangan antara satu (mazhab atau ulama) dengan selainnya. Jadi, didirikan solat Jumaat di masjid-masjid berasaskan dengan asal (dalil) dan lebih berhati-hati. Justeru, sesiapa yang ingin hadir solat Jumaat atau mahu mengambil keringanan (tidak hadir solat Jumaat) kerana mengikuti pandangan mereka (ulama) yang menggugurkan kewajipannya dengan (sebab) telah menunaikan solat hari raya, maka dia boleh berbuat demikian, dengan syarat dia bersolat Zuhur sebagai ganti tanpa mengkritik (atau menyanggah) orang yang hadir solat Jumaat atau sesiapa yang mendirikannya (solat Jumaat) di masjid-masjid atau mencetuskan fitnah (disebabkan sikap menyanggah atau mengkritik – pent.) dalam perkara yang terdapat keluasan perbezaan (pendapat)  para (ahli) salaf padanya.
Wajib Menggantikan Solat Jumaat Dengan Zuhur
Berhubung gugur solat Zuhur yang (dikira) memadai dengan solat hari raya, maka jumhur ulama salaf dan khalaf berpendapat : “Bahawa gugur (kewajipan) solat Jumaat dengan sebab rukhsah atau sakit atau terluputnya waktu, maka wajiblah menggantikannya dengan solat Zuhur.”

WalLahua‘lam.
* Terjemahan bebas daripada laman sesawang Dār-ul-Iftā’ Miṣriyyah http://www.dar-alifta.org/viewfatwa.aspx?id=1401&mu&Home=1&LangID=1 –Fatwa Mufti Besar Republik Arab Mesir, Profesor Dr. ‘Alīy Jum‘ah Muḥammad

Khamis, 9 Julai 2015

Matlamat Tamadun Islam


Secara umumya matlamat utama tamadun Islam ialah untuk memartabatkan Islam sebagai Ad-Deen iaitu satu cara hidup yang lengkap dan komprehensif. Manakala matlamat khusus tamadun Islam pula adalah untuk menjalinkan hubungan berikut:


1) HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ALLAH S.W.T   
    (HABLUMMINALLAH)

Manusia dapat mengenal Allah s.w.t melalui rukun iman yang enam dan berhubung dengan-Nya melalui rukun Islam yang lima. Keimanan mempunyai unsur kekuatan yang mencukupi untuk membangun individu dan masyarakat supaya menjadi umat yang berjiwa besar.

Lihatlah masyarakat Arab Jahiliah yang dahulunya buta huruf dan hidup dalam keadaan mundur tiba-tiba muncul sebagai satu bangsa penakluk, pemerintah dan tamadun yang agung setelah mereka beriman.

Pelaksanaan rukun Islam yang lima mempengaruhi diri individu muslim untuk mengiktiraf secara sukarela tentang kewujudan dan keesaan Allah s.w.t itu sendiri. Keupayaan seseorang melaksanakan rukun Islam yang lima membuktikan ketinggian iman dan berjaya membentuk peribadi muslim yang warak dan tawaduk.

Oleh itu, perhubungan dengan Allah s.w.t adalah yang paling unggul, bahagia dan suci murni. Di samping itu, hubungan dengan Allah ada implikasinya tersendiri:

·         Pengiktirafan terhadap pencipta
·         Pengiktirafan terhadap keagungan pemerintahan-Nya dan kebesaran kekuasaan-Nya
·         Pengiktirafan terhadap nikmat-nikmat Allah
·         Menyedari dan mengharapkan rahmat Allah
·         Penumpuan kepada Allah melalui permohonan dan doa
·         Cinta dan rindukan Allah sebagai matlamat


2) HUBUNGAN MANUSIA DENGAN MANUSIA
    (HABLUMMINANNAS)

Manusia dijadikan oleh Allah s.w.t daripada asal keturunan yang satu iaitu daripada Adam a.s. bersama pasangan hidupnya Siti Hawa. Maka daripada kedua-duanya lahir manusia dan terus membiak memenuhi alam sehingga hari ini. Tiap-tiap manusia wajib menganggap manusia yang lain tidak kira bangsa, tempat dan warna kulit adalah mempunyai hak yang sama daripada segi kemanusiaan dan kebebasan. Firman Allah s.w.t  dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dan seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa dan bersuku-suku  supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”                                                                                                                                                          (Al-Hujarat : 13)

Hubungan dan tatacara pergaulan dengan sesama manusia hendaklah berasaskan persaudaraan seagama, berbeza agama dan kemanusiaan secara amnya. Kesempurnaan masyarakat hanya dapat diwujudkan dengan adanya kerjasama, tolong-menolong dan perpaduan dengan cara penyelarasan undang-undang yang menentukan hak setiap masyarakat tidak dicerobohi. Kepentingan orang ramai hendaklah diutamakan daripada kepentingan diri sendiri.


3) HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ALAM

Allah s.w.t menciptakan seluruh alam ini untuk keperluan manusia. Alam yang penuh dengan hidup-hidupan, tumbuh-tumbuhan, udara yang nyaman, air yang bersih, cahaya yang menyegarkan serta dijadikan siang dan malam silih berganti adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Hal ini bukanlah bererti manusia bebas menggunakan nikmat ini dengan sesuka hatinya, sebaliknya ia adalah satu amanah untuk ditadbir secara terancang ke arah mengabdikan diri kepada Allah untuk mencari keredhaan-Nya. Di tangan manusia terletaknya kemakmuran alam dan segala penghuninya. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran yang bermaksud:

Dan dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi ini untuk kamu  semua.”                                                                                                                                                 (Al-Baqarah : 29)

ustaz azhar idrus-api dunia