Rabu, 24 Jun 2015

PENGERTIAN TAMADUN MENURUT SARJANA

PENGERTIAN TAMADUN MENGIKUT SARJANA ISLAM


Seorang sarjana Mesir iaitu Saiyid Qutb telah merumuskan bahawa “Tamadun Islam ialah segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat seperti sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan  syariat Allah serta bercirikan nilai-nilai moral Islam.”

Sarjana Islam dari Syria iaitu Said Hawa mengatakan “Tamadun Islam ialah segala aspek kemajuan yang berlandaskan kebudayaan Islam serta hasilnya juga relevan dengan kebudayaan tersebut manakala Tamadun Jahiliah ialah segala bentuk kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebendaaan dengan tidak mengambil kira aspek rohani dan moral.”

Menurut S.M Naquib Al-Attas “Tamadun Islam ialah keadaan kehidupan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.”


PENGERTIAN TAMADUN MENURUT SARJANA BARAT
 

Arnold Toynbee berpendapat “Tamadun ialah sistem masyarakat yang dapat membantu manusia menambah hasil pengeluaran atau produktiviti  dan ia mempunyai 4 elemen iaitu bahan-bahan ekonomi, sistem politik, pengetahuan dan seni“

Darey Ribeiro menggariskan bahawa masyarakat bertamadun ialah masyarakat yang memiliki ciri-ciri berikut :

·         Berakhir cara nomad dan mencipta alat teknologi dalam pertanian
·         Bermula pembahagian tugas berasaskan kumpulan
·         Pertumbuhan kota dan negara, wujud status sosial, sistem pengairan, pertanian peralatan logam, tembaga serta wujud tulisan angka dan kalendar
·         Wujudnya penggunaan wang syiling bagi memudahkan urusan perdagangan
·         Revolusi perdagangan
·         Revolusi penternakan
·         Revolusi teknologi
·         Revolusi industri


PENGERTIAN TAMADUN


Menurut Kamus Dewan : Tamadun boleh diertikan sebagai kebudayaan, kemajuan, peradaban sesuatu bangsa yang bertamadun.

Dalam konteks Islam, ia boleh dilihat dari segi pembinaan akhlak dan tatasusila manusia yang baik serta beradab sesama manusia dan pencipta-Nya.

PENGERTIAN TAMADUN DALAM BAHASA LAIN


1.      Bahasa Arab : Kata dasarnya ialah tamaddana atau madana yang bererti:

  • Suatu lokasi sebagai tempat tinggal
  • Membangun sesuatu kawasan hingga menjadi suatu perbandaran
  • Fenomena dari perubahan cara hidup daripada liar atau nomad kepada  kehidupan yang berbentuk maju (Kamus Al-Munjid)
  • Kehalusan adat (Kamus Idris Marbawi)

2.      Bahasa Inggeris : Civilization yang membawa maksud:

  • The process of civilizing or become civilized (Noah Webster)
  • An advanced stage of human social development with a high level of art, religion, science, government and written language (Longman dictionary of contemporary English)
  • Civilize – memperbaiki tingkah laku iaitu keluar dari kehidupan yang kasar kepada kehidupan yang lebih baik yang mempunyai kehalusan akal budi dan kesopanan

3. Bahasa Tamil : Nakar ikam - nakar ialah kota dan ikam pula ialah pembentukan bandar


  1. Bahasa Cina : Wen ming  yang bererti cerah atau bercahaya yang mana merujuk kepada unsur-unsur material dan spiritual yang muncul daripada pencapaian sejarah perkembangan manusia


Jumaat, 19 Jun 2015

RAMADAN BULAN IBADAH




Bulan Ramadan bulan Ibadah. Seringkali tibanya bulan Ramadan surau-surau dan masjid-masjid penuh dengan kesesakan umat Islam untuk menunaikan solat berjemaah di samping datang untuk menunaikan solat sunat tarawikh pada malam harinya. Fenomena ini adalah baik jika dapat dikekalkan momentumnya pada bulan-bulan lain juga.
Kedatangan Ramadan yang mulia diharapkan akan merubah diri kita untuk menjadi insan yang lebih baik apabila berakhirnya tarbiah Ramadan.Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga kerana tidak menjaga pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat. Dosa mata paling dominan apabila melihat benda-benda yang haram, dosa mulut apabila berbicara perkara-perkara yang lagha dan mengumpat, dosa telinga apabila mendengar berita palsu dan sebagainya.
Apabila kita berpuasa, kita beranggapan puasa itu adalah sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi kita terlupa bagaimana cara untuk menggemukkan pahala puasa kita. Kita berpuasa tetapi kita tidak menjaga aurat kita, Ramai yang berpuasa tetapi terlupa untuk melaksanakan solat lima waktu dan sebagainya.Ramadan merupakan bulan ibadah. Bulan untuk kita menggandakan usaha beribadah seperti membanyakkan membaca al-Quran, bertadarus, berzikir, bersedekah, bertahajud, membanyakkan berdoa dan sebagainya.
Kemeriahan bulan Ramadan dapat juga dilihat dengan kewujudan Bazar Ramadan yang dibuka pada sepanjang bulan Ramadan. Hal ini adalah amat baik tetapi kita jangan terleka berniaga hingga meninggalkan yang wajib seperti solat lima waktu atas alasan penat berpuasa di siang hari. Kita juga disarankan mengurangkan menonton televisyen pada bulan ini supaya dapat fokus kepada ibadah. Semoga Ramadan kali ini akan menjadi Ramadan yang terbaik buat kita dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba yang bersyukur.


ustaz azhar idrus-api dunia