Khamis, 5 November 2015

UPSR BOCOR, SALAH SIAPA?



Negara digemparkan dengan “Tsunami” soalan peperiksaan UPSR bocor sehingga terpaksa ditangguhkan pada satu masa yang lain. Penulis merasakan isu kebocoran soalan UPSR menyebabkan Kementerian Pendidikan menanggung malu dan kecewa. Usaha pantas kerajaan dan pihak berkuasa yang bertindak menangkap dan menahan pesalah yang disyaki dilihat sedikit mangubat dan menyejukkan hati para ibu bapa dan masyarakat. Antara mereka yang ditahan sehingga kini melibatkan 11 orang individu daripada empat buah negeri. Kesalahan mereka ini boleh disabitkan dibawah seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana memiliki dan mendedahkan kepada umum bahan rasmi kerajaan. Persoalannya di manakah letaknya nilai integriti sebagai warganegara Malaysia? Adakah sudah tergadai dek kerana bahana rasuah?
Ibu bapa dan murid juga melahirkan kemarahan mereka sambil menyeru kerajaan mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap apa yang terjadi. Beberapa individu tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua yang terlibat. Adalah menjadi kelaziman atas rasa integriti dan tanggungjawab maka dua orang pegawai tertinggi Majlis Peperiksaan Malaysia digantung perkhidmatan serta merta. Adakah dengan memohon maaf akan meredakan kemarahan dan  tekanan pelbagai pihak?.Tekanan sudah pasti melanda kepada murid-murid. Bahkan Generasi semuda ini terpaksa menjadi mangsa kepada isu integriti peperiksaan manakala guru dan ibu bapa turut kecewa dan marah. Segalanya Nampak sudah mencalar transformasi pendidikan yang kian rancak dijalankan.
Sistem pendidikan Negara kita merupakan sistem yang diiktiraf diperingkat dunia dan kemelut isu ini sudah pasti menjejaskan mutu system pendidikan Negara. Kita tunggu dan lihat apakah langkah kerajaan bagi menanggani masalah ini? Adakah rakyat akan kembali meyakini system pendidikan Negara? Pelbagai andaian yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab mengenai isu kebocoran soalan UPSR ini supaya akhbar menjadi laris seperti pisang goreng panas. Ada pihak yang membuat spekulasi kemungkinan wujud rangkaian dan sabotaj antara warga pendidik untuk membocorkan soalan UPSR tersebut. Walaupun begitu andaian ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh Menteri Dalam Negeri dan kemungkinan lain seperti terdapat unsur rasuah akibat terlalu obses untuk mendapatkan “A” juga mungkin boleh berlaku dek mengejar ranking sekolah. Isu ini juga mungkin pernah berlaku kebocoran soalan sebelum ini, tetapi dapat dikawal di kalangan individu dan kelompok masyarakat tertentu dan disebabkan ledakan teknologi maklumat di hujung jari seperti Whats App, Telegram dan Facebook ia mungkin menjadi punca penyebaran soalan ini berlaku terlalu cepat sehingga tidak dapat dikawal. Mana tugas pihak berwajib? Sepatutnya pihak yang berkuasa seperti polis dan SPRM perlu melakukan siasatan segera untuk mengenal pasti sama ada individu yang ditahan pernah melakukan perkara yang sama pada tahun-tahun sebelum ini.
Langkah drastik kerajaan melantik beberapa individu yang pakar dan berprofil tinggi adalah diharapkan akan segera menyelesaikan kemelut ini. Langkah ini juga dilihat realistik apabila Menteri Pendidikan melantik pengerusi jawatankuasa bebas seperti Tun Zaki Azmi yang banyak pengalaman dan beliau juga merupakan bekas Ketua Hakim Negara bagi penulis adalah tepat pada masanya. Timbul persoalan apabila  peperiksaan bocor sepatutnya MPM menyediakan pelan kontigensi. Mengapa tidak disediakan soalan ganti? Kesannya adalah besar kerana akan melibatkan kos yang tinggi, bebanan tugas guru bertambah bahkan kewibawaan Kementerian juga mungkin akan turut dipersoalkan.
Penulis juga melihat sikap terlalu Obses untuk mendapat gred A merupakan faktor penyebab. Kita boleh lihat ada dikalangan ibu bapa yang sanggup berbelanja besar supaya anak boleh mendapat gred A dengan menghantar ke pusat tuisyen. Seolah-olah ibu bapa pula yang hendak belajar. Tambahan pula kemasukkan ke sekolah berasrama penuh juga meletakkan syarat yang tinggi iaitu perlu mendapat 5A sebagai syarat kemasukkan. Jesteru, secara tidak langsung sistem pendidikan yang kita ada kini menjadi tekanan kepada semua pihak. Kejayaan pelajar bukan hanya dilihat pada gred A semata-mata bahkan harus dilihat pencapaian mereka secara holistik.
Beberapa langkah penyelesaian harus difikirkan bersama oleh semua pihak bagi menyelesaikan masalah ini. Perasaan tertekan dan rasa tertipu pasti ada dikalangan calon UPSR 2014. Oleh itu, peranan guru, ibu bapa dan terutamanya guru kaunseling adalah sewajarnya diperlukan disaat tersebut. Penulis juga ingin tampil mempersoalkan tahap kawalan penyediaan kertas soalan yang pastinya melibatkan Prosedur operasi standard (SOP). Tidak kira sehebat manapun SOP itu, jika pekerjanya tidak amanah, tidak nerintegriti dan tidak bertanggungjawab maka apa sistem sekalipun pun akan tetap gagal kerana perosak system SOP tersebut adalah manusia.
Sementara itu, kualiti pendidik atau guru perlu juga dipertingkatkan dari semasa kesemasa. Sifat professional dan integriti unggul para pendidik harus ditambahbaik bagi melahirkan modal insan yang hebat sepertimana yang disarankan oleh kerajaan. Selain itu,guru perlu merhusabah mengenal pasti kelemahan dan kekuatan diri, membuat anjakan paradigma agar sejajar dengan kehendak pendidikan era globalisasi.
Sistem pendidikan yang kita bina janganlah terlalu jumud. Jangan disebabkan anak kita tidak mendapat gered A dalam UPSR kita menyalahkan mereka dan berasa malu. Peperiksaan UPSR bagi penulis adalah permulaan perjalanan pendidikan anak-anak. Apa yang penting adalah pemupukan sifat integriti dan kejujuran kepada mereka dan perlu disemai semenjak kecil lagi. Kita terlalu kecoh bila soalan peperiksaan UPSR bocor tetapi soalan bocor ketika di alam barzah tiada seorang pun yang ambil peduli. Jangan sampai matlamat menghalalkan cara. Sahut dan jalankan tugas mendidik sebagai satu amanah Allah dan bukan kerana gaji semata-mata. Masalah akan timbul jika integriti tidak diamalkan dan kesanya lihat apa yang berlaku pada hari ini sesuai dengan kata bidalan jangan disebabkan nila setitiik maka rosak susu sebelanga.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ustaz azhar idrus-api dunia