Khamis, 5 November 2015

PROFESIONALISME GURU

 PENGENALAN 

Dunia kerjaya semakin kompetitif bukan sekadar mencukupkan keperluan hidup bahkan menjadi cabaran yang hebat dalam kehidupan seseorang. Kerjaya sebagai tenaga pengajar di Politeknik memerlukan komitmen sangat tinggi lebih-lebih lagi sebagai pensyarah Pendidikan Islam. Matlamat Politeknik ketika ini adalah  untuk menjadi pusat pendidikan bertaraf dunia dan bakal bertukar status Politeknik universiti  pada 2015 nanti dengan dasar transformasi ke seluruh Politeknik.  

Pendidikan merupakan satu bentuk interaksi manusia menurut Hasan Lenggulung  (1987). Ia adalah suatu tindakan sosial yang memungkinkan berlakunya satu jaringan hubungan kemanusiaan, jaringan-jaringan ini bersama dengan hubungan dalam peranan-peranan individu di dalamnya yang menbentuk watak pendidikan sesebuah masyarakat.  Pendidikan  bukan sekadar menghabiskan sukatan pelajaran  sahaja, malah ia lebih dari itu dan bertujuan untuk mendidik anak bangsa, membentuk peribadi, rohani, emosi, intelektual dan jasmani.Tanggungjawab mendidik bukan sahaja terletak di bahu pensyarah semata-mata,  malah semua  pihak  perlulah  memainkan peranan  dan memberi komitmen dalam menggembleng  tenaga  membentuk  anak-anak bangsa menjadi manusia yang berguna kepada agama,  bangsa  dan negara serta melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.

Memang  tidak dapat dinafikan tanggungjawab dan peranan pendidik kini lebih mencabar apatah lagi dengan ledakan perkembangan dunia tanpa sempadan atau globalisasi yang menuntut para guru dan pendidik untuk lebih berusaha gigih bagi menghasilkan anak didik yang benar-benar berilmu, berakhlak mulia, mampu berdikari, mempunyai jati diri dan mampu bersaing pada peringkat nasional mahupun global.

Matlamat utama Pendidikan Islam adalah untuk memberikan kemahiran pengetahuan dan membangunkan insan yang bertakwa kepada Allah SWT. Untuk merealisasikan matlamat tersebut ia perlu kepada modal insan yang bergelar pendidik. Tugas mengajar dan mendidik merupakan tugas yang amat penting dan mulia  kerana ia merupakan kesinambungan dakwah Nabi SAW.

Profesionalisme  yang tinggi perlu ditonjolkan dalam diri setiap Pensyarah Pendidikan Islam Politeknik Merlimau (PPIPMM) untuk memperlihatkan kepada pelajar dan warga Politeknik bahawa PPIPMM merupakan pensyarah  yang profesional  dalam  semua  bidang serta mempunyai integriti dan sahsiah yang tinggi dalam mendidik pelajar. Keupayaan menguasai ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) terkini juga merupakan bukti bahawa pensyarah Pendidikan Islam kini bersifat profesional. Hal ini kerana, PPIPMM  bukan sahaja pensyarah yang mengajar Pendidikan Islam tetapi juga merupakan contoh dan ikutan untuk menjadi insan yang mulia dan bertaqwa disamping mempunyai ciri-ciri kepimpinan keagamaan yang tinggi.

Terdapat banyak laporan di stakeholder melibatkan masalah guru seperti penderaan, ponteng kerja, rasuah, tidak berintegriti, masalah dadah dan sebagainya. Di antara contoh-contoh salahlaku yang melibatkan guru ialah pada 15 Disember 2005, seorang guru tuisyen, Patricia Barbara Shanta, 54 tahun telah ditahan kerana mendera pelajar  dan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas pelajar tahun tiga. Sementara itu, seorang guru didakwa kerana telah menendang pinggang seorang pelajar tahun enam sebanyak dua kali. Kejadian ini berlaku pada  2 April 2007 di salah sebuah sekolah di Sik, Kedah. Sementara di Alor Setar pula, seorang guru perempuan didakwa memukul seorang murid tahun tiga di sebuah sekolah rendah dengan menggunakan pembersih habuk plastik bertangkai besi kerana murid tersebut tidak membersihkan kelas pada waktu rehat seperti yang ditetapkan dalam jadual tugasan harian. Semua kes-kes tersebut  sebenarnya berkait rapat dengan  sahsiah dan tahap profesionalisme guru.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ustaz azhar idrus-api dunia