Selasa, 14 Julai 2015

Hukum Solat Jumaat Apabila Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat

JAWAPAN: 
Persoalan mengenai berlakunya hari raya dan Jumaat pada hari yang sama, dan adakah gugur kewajipan (menunaikan) solat Jumaat ketika itu, maka ianya adalah perkara khilafiah di kalangan ulama disebabkan perbezaan mereka dalam menentukan kesahihan hadis-hadis dan athar yang dijadikan hujah dan (perbezaan) pemahaman mereka ke atas (mafhum)hadis berkenaan.
Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasai’, Ibnu Majah, dan Al-Hakim daripada Iyas bin Abi Ramlah Ash-Shami, beliau berkata : “Aku telah melihat Mu‘awiyah bin Abi Sufian bertanyakan Zaid bin Arqam r.a : “Adakah kamu pernah menyaksikan dua hari raya berkumpul pada satu hari yang sama (ketika kamu) bersama Rasulullah S.A.W?” Beliau (Zaid bin Arqam r.a) menjawab: “Ya!” Beliau (Mu‘awiyah bin Abi Sufian) bertanya (lagi) : “Bagaimana baginda melakukan(nya)?” Jawab beliau : “Baginda (S.A.W) melakukan solat hari raya, kemudian baginda telah meringankan (kewajipan) solat Jumaat, lalu baginda (S.A.W) bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang mahu bersolat (Jumaat), maka hendaklah dia bersolat.”Daripada Abi Hurairah r.a, daripada Rasulullah S.A.W, baginda telah bersabda (mafhumnya): “Telah terhimpun pada hari kamu ini dua hari raya, maka sesiapa mahu, dia tidak perlu (menunaikan) solat Jumaat, sedangkan kami (tetap mahu) solat Jumaat.”
Solat Hari Raya Tidak Menggugurkan Kewajipan Solat Jumaat
Terdapat sebahagian ulama yang berpendapat bahawa menunaikan solat hari raya tidaklah memberikan keringanan hingga gugurnya solat Jumaat di mana mereka (sebahagian ulama) berhujah dalil kewajipan solat Jumaat adalah umum bagi setiap hari (termasuk hari raya – pent.). Dan, kedua-duanya (solat hari raya dan solat Jumaat) adalah syiar yang berdiri sendiri, dan tidaklah bersifat “boleh mengganti antara satu sama lain.” Manakala, pelbagai dalil daripada hadis dan athar tidaklah kuat (menyokong) pengkhususannya (bahawa solat Jumaat itu boleh diberikan keringanan untuk tidak menunaikannya dalam persoalan seperti ini – pent.), kerana terdapat percanggahan pada sanadnya, dan inilah pandangan mazhab Hanafi dan Maliki.
Gugur Solat Jumaat, Wajib Ganti Dengan Solat Zuhur
Imam Ahmad r.h berpendapat – sebagaimana salah satu pandangan Imam Ash-Shafi‘i r.h – gugur kewajipan solat Jumaat bagi sesiapa yang telah melaksanakan solat hari raya, tetapi mereka diwajibkan solat Zuhur ketika itu berdasarkan hadith-hadith dan athar terdahulu (juga).
Keringanan Bagi Penduduk Di Pedalaman
Jumhur ulama – antaranya juga pandangan Imam Ash-Shafi‘i r.h yang paling sahih – berpendapat kewajipan Jumaat (hanya) ke atas penduduk bandar (sahaja) dan gugur kewajipannya ke atas penduduk pedalaman yang cukup syarat-syarat wajibnya, kerana mewajibkan solat Jumaat berserta solat hari raya kepada mereka (penduduk pedalaman) akan memberikan kesukaran dan kesulitan.Mereka berhujah dengan satu riwayat daripada Imam Malik di dalam Al-Muwatta’ bahawa ‘Uthman bin ‘Affan r.a telah berkata di dalam khutbahnya : “Sesungguhnya telah berkumpul pada kamu hari ini dua hari raya, maka sesiapa daripada penduduk Al-‘Aliyah (iaitu suatu tempat yang jaraknya kira-kira tiga batu daripada Madinah Al-Munawwarah) yang ingin menunggu (solat) Jumaat, maka hendaklah dia menunggunya, tetapi sesiapa yang mahu pulang, maka sesungguhnya aku izinkan baginya.”
Dan, perkara ini tidak diingkari oleh seorang sahabat pun, lalu jadilah ia ijma’ sukuti. Berpandukan hadis-hadis seperti inilah, para ulama memahami hadis yang memberikan keringanan meninggalkan solat Jumaat bagi sesiapa yang telah mendirikan solat hari raya.
Permasalahan ini sifatnya khilafiah
Maka itu, permasalahan dalam perkara ini adalah luas selagi mana masalah tersebut bersifat khilafiah. Oleh yang demikian, permasalahan ini bukanlah bermaksud (wujudnya) pertentangan antara satu (mazhab atau ulama) dengan selainnya. Jadi, didirikan solat Jumaat di masjid-masjid berasaskan dengan asal (dalil) dan lebih berhati-hati. Justeru, sesiapa yang ingin hadir solat Jumaat atau mahu mengambil keringanan (tidak hadir solat Jumaat) kerana mengikuti pandangan mereka (ulama) yang menggugurkan kewajipannya dengan (sebab) telah menunaikan solat hari raya, maka dia boleh berbuat demikian, dengan syarat dia bersolat Zuhur sebagai ganti tanpa mengkritik (atau menyanggah) orang yang hadir solat Jumaat atau sesiapa yang mendirikannya (solat Jumaat) di masjid-masjid atau mencetuskan fitnah (disebabkan sikap menyanggah atau mengkritik – pent.) dalam perkara yang terdapat keluasan perbezaan (pendapat)  para (ahli) salaf padanya.
Wajib Menggantikan Solat Jumaat Dengan Zuhur
Berhubung gugur solat Zuhur yang (dikira) memadai dengan solat hari raya, maka jumhur ulama salaf dan khalaf berpendapat : “Bahawa gugur (kewajipan) solat Jumaat dengan sebab rukhsah atau sakit atau terluputnya waktu, maka wajiblah menggantikannya dengan solat Zuhur.”

WalLahua‘lam.
* Terjemahan bebas daripada laman sesawang Dār-ul-Iftā’ Miṣriyyah http://www.dar-alifta.org/viewfatwa.aspx?id=1401&mu&Home=1&LangID=1 –Fatwa Mufti Besar Republik Arab Mesir, Profesor Dr. ‘Alīy Jum‘ah Muḥammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ustaz azhar idrus-api dunia