Jumaat, 19 Jun 2015

RAMADAN BULAN IBADAH




Bulan Ramadan bulan Ibadah. Seringkali tibanya bulan Ramadan surau-surau dan masjid-masjid penuh dengan kesesakan umat Islam untuk menunaikan solat berjemaah di samping datang untuk menunaikan solat sunat tarawikh pada malam harinya. Fenomena ini adalah baik jika dapat dikekalkan momentumnya pada bulan-bulan lain juga.
Kedatangan Ramadan yang mulia diharapkan akan merubah diri kita untuk menjadi insan yang lebih baik apabila berakhirnya tarbiah Ramadan.Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga kerana tidak menjaga pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat. Dosa mata paling dominan apabila melihat benda-benda yang haram, dosa mulut apabila berbicara perkara-perkara yang lagha dan mengumpat, dosa telinga apabila mendengar berita palsu dan sebagainya.
Apabila kita berpuasa, kita beranggapan puasa itu adalah sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi kita terlupa bagaimana cara untuk menggemukkan pahala puasa kita. Kita berpuasa tetapi kita tidak menjaga aurat kita, Ramai yang berpuasa tetapi terlupa untuk melaksanakan solat lima waktu dan sebagainya.Ramadan merupakan bulan ibadah. Bulan untuk kita menggandakan usaha beribadah seperti membanyakkan membaca al-Quran, bertadarus, berzikir, bersedekah, bertahajud, membanyakkan berdoa dan sebagainya.
Kemeriahan bulan Ramadan dapat juga dilihat dengan kewujudan Bazar Ramadan yang dibuka pada sepanjang bulan Ramadan. Hal ini adalah amat baik tetapi kita jangan terleka berniaga hingga meninggalkan yang wajib seperti solat lima waktu atas alasan penat berpuasa di siang hari. Kita juga disarankan mengurangkan menonton televisyen pada bulan ini supaya dapat fokus kepada ibadah. Semoga Ramadan kali ini akan menjadi Ramadan yang terbaik buat kita dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba yang bersyukur.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ustaz azhar idrus-api dunia