Rabu, 11 September 2013

ULASAN JURNAL

ULASAN JURNAL

PEMUPUKAN AKHLAK MUSLIM MENURUT PANDANGAN IBNU MISKAWAYH.

Mohd Faizal Mat Pesa
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia


1.0          LATAR BELAKANG
Jurnal ini merupakan hasil kajian Siti Norlina Muhamad & Mohd Nasir Ripin dari Pusat Pengajian Islam Dan Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia,Skudai, Johor Manakala Mohd Dani Muhamad daripada Centre For Islamic Thought And Understanding (CITU) UiTM Shah Alam, kajian terhadap pemupukan akhlak muslim menurut pandangan Ibnu Miskawayh. Perbincangan dalam jurnal ini adalah untuk memberi gambaran yang jelas kepada kumpulan sasarnya tentang pembentukan  akhlak  amat penting kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan iman. Sungguhpun fitrah semulajadi manusia adalah baik, ada ketikanya manusia mempunyai keinginan yang tersasar dari kebaikan. Akhirnya dalam mengejar kemajuan kebendaan, manusia mengorbankan keluhuran akhlak dan iman. Penulisan ini juga telah disokong oleh penulis dengan membawa sorotan tokoh contoh akhlak Islam terkemuka iaitu Ibnu Miskawayh dalam menghadapi keruntuhan akhlak masyarakat pada zamannya dan boleh diaplikasikan pada masa kini.

2.0          SASARAN PEMBACA
Berdasarkan kepada tajuk fokus kajian dan jurnal ini adalah ditujukan kepada pemikir-pemikir ilmuan islam dan mahasiswa dan mahasiswi di Institut pengajian tinggi. Idea ini kemudiannya dibuka kepada semua untuk dibincang dan dibahaskan bagi melihat pendapat al-Ghazali yang berasaskan al-Quran dan Sunnah, sekaligus menolak dakwaan ahli falsafah barat yang mengatakan falsafah Islam merupakan disiplin ilmu yang berasal dan bersandarkan pada pemikiran Yunani.

3.0          RUMUSAN JURNAL
Isu akhlak  bukan hanya terhad kepada aktiviti-aktiviti sosial, tetapi juga wujud dalam setiap aktiviti manusia seperti politik, ekonomi dan sebagainya. Pemupukan  nilai-nilai akhlak dan etika yang baik dalam kehidupan muslim mestilah dititikberatkan. Proses pemupukan akhlak muslim harus bermula dengan keluarga di rumah dan diteruskan   dalam  kehidupan sosial bermasyarakat. Keruntuhan  akhlak  yang  berpunca  daripada  kemerosotan  nilai-nilai  akhlak  boleh  diatasi melalui peningkatan kualiti kehidupan keluarga. Ini boleh dilaksanakan melalui penghayatan terhadap tuntutan Islam dalam kehidupan seharian di samping penekanan terhadap disiplin dan membezakan dosa atau pahala dalam setiap tingkahlaku.
Maka sebab itulah, penulis melihat keperluan usaha  untuk  menjana  semula  akhlak  Islam  dalam  masyarakat  adalah dengan cara mencari penyebab berlakunya penyelewengan dalam masyarakat dan berusaha mengubati penyelewengan tersebut. Di antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah denagn meluaskan  pemikiran, kerana  pemikiran  yang sempit  merupakan  faktor  berlakunya perbuatan jahat, bersahabat dengan orang yang berperibadi mulia kerana ia merupakan antara perkara yang boleh mendidik jiwa dan meneliti  perjalanan  hidup  para  nabi,  ulama  dan  pahlawan  Islam  kerana  ia  boleh dijadikan teladan kepada orang yang mengkajinya.
       
3.1       PENILAIAN
            Penulis cuba menterjemahkan apakah yang dimaksudkan dengan akhlak dan bagaimanakah pemupukan akhlak dibina oleh Ibnu Miskawayh bagi mengatasi gejala sosial pada zamannya dan diaplikasikan dalam konteks semasa. Bahkan pendekatan Ibnu Miskawayh ini terbukti masih releven  sehingga kini.
            Penulis juga memberikan senarai panjang contoh gejala sosial masyarakat masakini termasuklah jenayah berat, keganasan seksual, jenayah remaja, penderaan kanak-kanak, dan gejala rasuah. Banyak juga gelala sosial ini dibukti melalui “stakeholder” seperti kes ragut dalam berita Harian, 17 Jun 2004, jenayah remaja seperti peras ugut dan rogol dalam majalah dakwah, September 2006, rasuah dalam Utusan Malaysia, 17 jun 2004 dan sebagainya. Di samping  itu juga penulis cuba mengfokuskan kepada etika hidup yang tinggi dan mulia sebagai hamba Allah menurut Ibnu Miskawayh antaranya pegangan agama yang mantap, usaha dari individu, bersahabat dengan orang baik dan sebagainya.

3.1.1    TEMA
            Penulis telah memilih tema akhlak muslim dan langkah mengatasi masalah akhlak masakini mengikut metodologi Ibnu Miskawayh sebagai fokus utama penulisan. Ini bertepatan dengan sasaran utama penulisan beliau iaitu kepada kepada pemikir-pemikir ilmuan islam dan mahasiswa dan mahasiswi di Institut pengajian tinggi.

3.1.2    CIRI-CIRI
            Penulisan penulis ini bercirikan penulisan ilmiah dan dipersembahkan dengan mewujudkan ciri-ciri kajian dan dapatan. Hasil dapatan adalah bertujuan  bagi menguatkan lagi hujah agar boleh menyakinkan pembaca menerima pendapat beliau.

 3.1.3    KAITAN TEORI, PENDAPAT DAN AMALAN
            Penulis telah berjaya memberikan pendapat daripada para sarjana dan ilmuan tentang pemupukan akhlak muslim. Di antaranya Ibnu khaldun (1995), mengatakan pasang surut sesebuah Negara dan tamadun banyak bergantung kepada sejauhmana umat itu berpegang kepada nilai-nilai yang tinggi. Penulis juga menggunakan pendapat penyair arab terkenal yang bernama Ahmad Shauqi tentang akhlak yang mana beliau mengatakan sesebuah masyarakat itu akan ada selagi ada akhlaknya. Sekiranya akhlaknya tiada, maka masyarakat akan lenyap. Penulis juga cuba membawa pendapat tokoh lain seperti Prof Khurshid Ahmad yang berpandangan Islam tidak menghalang manusia mengejar kemajuan, teknologi dan kekuasaan tetapi ia menghalang semua ini jika dijadikan sebagai matlamat dan tujuan hidup manusia. Menurut Prof Khurshid Ahmad lagi beliau mengatakan  kemajuan, teknologi dan kekuasaan hanya dijadikan sebagai alat dalam mencapai tujuan hidup. Dalam erti kata lain melalui memahami hakikat tauhid, takwa dan adil yang sebenar akan menjadi asas kepada pemurnian akhlak seseorang muslim.
            Selain itu terdapat juga pendapat ilmuan seperti Ziaudin sardar (1988) berpendapat masa hadapan Tamadun Islam banyak bergantung kepada sejarah. Kita juga memerlukan analisis terhadap pengalaman masa lalu di samping mengambil kira pengalaman masa kini agar kita mengambil pengajaran daripadanya. Penulis juga mengemukakan kenyataan Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berhubung kes  Rasuah (akhlak) yang mana melibatkan ramai orang kenamaan telah pun didakwa di mahkamah. Kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur berhubung kes kes ragut dalam kategori jenayah berat, mengemukakan statistik perangkaan kementerian Pendidikan pada tahun 1994 berhubung kes jenayah remaja dan sebagainya.

            Akhirnya, penulis membawa pembaca melihat kenyataan sorotan berita yang sering dipaparkan di“stakeholder” antaranya termasuklah berita harian, utusan Malaysia, majalah dakwah yang mana kesemuanya membincangkan tentang isu akhlak yang melibatkan kanak-kanak, remaja, dewasa dan juga orang kenamaan. Oleh itu semua isu-isu akhlak ini perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak yang berkenaan bagi mengelakkan iainya menjadi barah dalam masyarakat sekaligus meruntuhkan akhlak ketamadunan manusia.

ustaz azhar idrus-api dunia