Selasa, 1 Februari 2011

Bersanding adakah dibolehkan?






APAKAH hukum bersanding dalam Islam kerana ada yang mengatakan ia adalah budaya agama Hindu?


JAWAPAN: Tujuan asal diadakan majlis walimatulurus adalah untuk memperkenalkan pasangan yang telah diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah kepada tetamu dan para jemputan.

Persandingan hanyalah satu adat Melayu yang menjadi warisan turun-temurun sejak dahulu hingga ke hari ini.

Namun, dalam kemeriahan menyambut majlis bersejarah itu, hendaklah dipastikan syariat Islam tidak tenggelam dalam lautan kegembiraan.

Berdasarkan pemerhatian, sebahagian adat bersanding diambil dari budaya orang Hindu seperti adat merenjis yang bertujuan mengelak makhluk halus dan nasib buruk. Ia adalah haram dan dilarang.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka." (Hadis sahih Riwayat Abu Dawud).

Dalam hadis yang dikeluarkan oleh al-Imam Ahmad, Ibn Umar RA juga berkata, bahawa Rasulullah bersabda:

"Aku diutus dengan pedang menjelang hari kiamat, sehingga (orang-orang bukan Islam) menyembah Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, dijadikan rezeki di bawah bayangan tombakku dan dijadikan hina dan rendah bagi sesiapa saja yang berselisihan dengan urusanku. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka." (Musnad Ahmad)

Namun begitu, Islam memberi garis panduan dalam isu ini kerana sesuatu adat dan budaya itu boleh dilaksanakan selagi mana tidak bertentangan dengan syarak. Antaranya:

Pertama, majlis persandingan itu perlu dibuat secara tertutup khusus untuk ahli keluarga yang mahram sahaja. Kedua, tiada percampuran antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram. Ketiga, tiada pembaziran dan tiada perkara yang melalaikan.

Apa cara pun yang dilakukan, semoga syariat Allah terpelihara dan beroleh keberkatan dan keredaan-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ustaz azhar idrus-api dunia