Sahabat

Ahad, 18 Julai 2010

Syarat sah solat berjemaah


Syarat sah solat berjemaah itu ada tujuh perkara.
1   Imam hendaklah berada di hadapan makmum sekira-kira janganlah tumit makmum mendahului (ke hadapan daripada) tumit imam (pada sembahyang berdiri) dan janganlah punggung makmum mendahului punggung imam (jika sama-sama solat duduk). Dan jika sama tumit makmum dengan tumit imam, sembahyang makmum itu masih sah, tetapi makruh dan tiada fadilat berjemaah.

2  Hendaklan makmum mengetahui pergerakan imam, samada ia nampak imam itu atau nampak makmum di hadapannya yang mengikut imam atau mendengar suara imam atau suara "muballigh" bagi imam.

3    Berhimpun imam dan makmum di satu tempat.

 Hendaklah makmum berniat mengikut imam atau berjemaah atau menjadi makmum. Dan jika sembahyang seseorang mengikut imam, padahal dia tidak berniat berjemaah, maka batallah sembahyangnya[1]. Tetapi jika imam itu tidak berniat menjadi imam, maka sembahyangnya (imam) adalah sah, kerana tidak disyaratkan bagi imam untuk berniat menjadi imam, sekalipun dia tidak mendapat fadhilat berjemaah kerana tidak berniat jemaah. Dan tidak disyaratkan bagi makmum berniat mengikut imam atau jemaah itu di dalam takbiratul ihram, bahkan sah jika diniatkan ketika sedang bersembahyang (sesudah takbiratul ihram). Tetapi yang sepatutnya ialah berniat ketika takbir (sebelum bertakbir), supaya mendapat fadhilat berjemaah pada permulaan sembahyang lagi. Diingatkan juga, bahawa wajib pada sembahyang jumaat berniat berjemaah pada permulaan sembahyang lagi (dalam takbir).

5  Hendaklah sama peraturan sembahyang imam dan makmum. Kerana inilah sah sembahyang fardu di belakang imam yang sembahyang sunat dan begitulah juga sebaliknya. Contoh bagi yang tidak sama peraturan sembahyang ialah solat biasa mengikut solat gerhana atau solat jenazah, maka tidak sah ikutannya itu. Dan tidak mengapa juga jika berlainan bilangan rakaat sembahyang imam dan makmum. Dan jika rakaat sembahyang imam itu adalah lebih banyak, dan makmum sudah pun membaca tahiyat akhir, dia dibolehkan untuk menanti imam dalam tahiyyatnya sehingga imam itu selesai mengerjakan sembahyangnya dan memberi salam atau (pilihan kedua ialah) dia berniat mufaraqah dan memberi salam sebelum selesai solat imamnya. Dan yang afdhalnya ialah menanti imam. Tetapi jika tahiyyat akhir makmum itu berada pada rakaat yang tiada tahiyyat bagi imam, seperti sembahyang maghrib di belakang imam yang bersembahyang empat rakaat, atau sembahyang dua rakaat di belakang imam yang bersembahyang empat rakaat, tetapi imamnya tidak mengerjakan tahiyyat awal, maka wajib bermufaraqah dan tidak harus menanti imam.

6  Hendaklah makmum menurut imam pada perkara-perkara sunat yang perlu dituruti imam samada menurut dengan tinggal atau buat. Ertinya, jika imam mengerjakan sunat tersebut, maka wajib juga dikerjakannya dan jika ditinggalkannya, maka makmum juga wajib meninggalkannya. Contohnya adalah seperti sujud tilawah. Maka jika imam meninggalkannya, makmum juga wajib meninggalkannya, dan jika dilakukannya juga, sedangkan imam meninggalkannya, maka batallah sembahyangnya. Tetapi jika duduk imamnya kerana membaca tahiyyat awal, dan makmum pula sengaja berdiri, tidaklah batal sembahyangnya dan disunatkan baginya kembali duduk (bertahiyyat bersama imam). Dan jika dia berdiri kerana terlupa, sedangkan imamnya duduk membaca tahiyyat awal, maka wajiblah bagi makmum itu kembali duduk (bertahiyyat), dan jika dia tidak turun untuk bertahiyyat bersama imam, maka batallah sembahnyangnya.

7  Hendaklah makmum mengikuti imamnya pada takbiratul ihram dan lainnya. Ini kerana, tidak dinamakan sembahyang berjemaah jika makmum tidak mengikut imam.
Masalah 1: Jika bertakbir yang ingin menjadi makmum berserentak dengan takbir imam, atau mendahului imamnya, maka batallah sembahyangnya.
Masalah 2: Jika makmum mendahului imam dalam rukun qauli (bacaan), maka sembahyangnya sah, kecuali takbir, maka tidak sah sembahyangnya.
Masalah 3: Sah makmum mendahului imam dengan satu rukun fi'li (perbuatan), sekalipun ia adalah haram dan berdosa (kerana mendahului imam).

Masalah 4: Jika makmum mendahului imam dengan dua rukun, maka batallah sembahyangnya, sekalipun rukun pendek. Contohnya adalah seperti rukuk seorang makmum mendahului imamnya, dan apabila imam ingin rukuk, maka ia bangkit beriktidal. Dan apabila imamnya ingin bangkit daripada rukuk, makmum itu sudahpun sujud, maka batallah sembahyang ketika itu (sujud) kerana mendahului imamnya dengan dua rukun.
Masalah 5: Batal sembahyang makmum yang terlewat daripada mengikuti imamnya dengan dua rukun "fi'li" tanpa sebarang keuzuran yang dimaafkan dan jika rukun pendek sekalipun. Contohnya ialah seperti bahawa imamnya telah rukuk, iktidal dan tunduk untuk sujud, sedangkan makmum itu masih lagi berdiri (membaca al-fatihah), maka batallah sembahyang makmum tatkala imam itu sujud. Dan perlu dingatkan di sini bahawa waswas tidaklah termasuk keuzuran, kerana itu, sesiapa yang terlewat dua rukun kerana waswasnya, maka batallah sembahyangnya.
Masalah 6: Dimaafkan kepada makmum "muafiq" yang mempunyai keuzuran - seperti yang terlalu lambat membaca al-Fatihah atau yang terlupa membacanya atau imamnya terlalu cepat membaca al-Fatihah - terlewat daripada imam sehingga tiga rukun yang panjang. Dan jika lebih daripada itu, maka dia wajib berniat mufaraqah dan menyelesaikan sembahyang dirinya berseorangan atau dia terus mendapatkan imam (mengikut imam dengan meninggalkan rukun-rukun sembahyangnya yang terlewat itu), dan menambahkan serakaat lagi sebagai ganti bagi rakaat tersebut sesudah salam imamnya. Adapun makmum "masbuq", maka dia wajib rukuk setelah imamnya rukuk sekalipun tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihahnya. Ini kerana bacaan itu ditanggung oleh imam.
Masalah 7: Makmum masbuk yang sempat rukuk bersama imamnya serta dia berthoma'ninah bersama imamnya dengan yakin (sebelum imamnya bangkit daripada rukuk itu) dan imamnya itu suci daripada najis dan juga hadas, maka dia dianggap mendapat rakaat. Dan jika imamnya itu ada najis atau berhadas, maka dia tidak dianggap mendapat rakaat itu, kerana imamnya tidak boleh menanggung bacaan al-Fatihahnya. Begitu juga dia tidak dianggap mendapat rakaat jika dia sempat rukuk bersama imam, tetapi tidak sempat berthoma'ninah bersama imam, atau dia berthoma'ninah tetapi selepas imamnya sudahpun bangkit daripada rukuknya, atau dia syak, adakah dia sempat berthoma'ninah bersama imam atau selepas imamnya sudah bangkit daripada rukuk. Maka sekalian keadaan ini, tidak dianggap mendapat rakaat. Masalah ini perlu diambil perhatian kerana didapati ramai yang terbatal sembahyangnya kerana jahil akan masalah ini, yang mana dia menganggap bahawa dia sudahpun mendapat satu rakaat, lalu dia memberi salam, padahal sebenarnya dia masih lagi kekurangan satu rakaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ustaz azhar idrus-api dunia

Senarai Blog Saya

buku-ibnu miskawayh

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

heartbeat